Pegawai kanan polis yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Lima pada Jumaat telah diuji negatif dadah.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu The Star bahawa kira-kira 12 laporan telah dibuat berhubung kes membabitkan pegawai berusia 44 tahun itu, yang bertugas di ibu pejabat polis kontinjen Kedah.
“Kami juga telah mengambil sampel darahnya dan sedang menunggu laporan patologi,” katanya sambil menambah kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian secara melulu atau memandu berbahaya dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan adil.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas mengalami kecederaan di dada dan perut.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas pemandu kereta Perodua Ativa dikatakan tidak berpuas hati dengan paip ekzos motosikal mangsa yang bising.
