Bekas menteri agama Mujahid Yusof menyuarakan rasa hairannya terhadap sebahagian kecil kumpulan Islam sendiri yang memandang serong terhadap perjuangan Hamas untuk rakyat Palestin.

Ditanya berkaitan kecaman Kongres Uyghur Sedunia (WUC) terhadap Hamas, Mujahid tidak sedar berkaitan perkara itu tetapi meluahkan rasa hairannya.

“Kongres ini dia baca sejarah atau tidak?” soalnya kembali ketika diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

WUC pada 9 Oktober, dua hari selepas serangan mengejut Hamas terhadap Israel, mengeluarkan kenyataan yang mengecam serangan yang didakwa terhadap orang awam.

Organisasi antarabangsa berpangkalan di Jerman itu dalam kenyataan ringkas dua perenggan berkata mereka bimbang terhadap prospek peningkatan konflik dan korban nyawa.

“Kami bersama-sama bersetiakwan dengan pihak yang menderita akibat keganasan dan perang dan kami berdoa untuk kesejahteraan semua pihak yang terjejas oleh keganasan,” katanya.

WUC dipimpin oleh aktivis Uyghur yang berpindah ke luar negara akibat tekanan China Dolkun Isa. 

Dolkun Isa

Ia beribu pejabat di Jerman dan mengaku mewakili kepentingan orang Uyghur, yang rata-rata beragama Islam, di seluruh dunia.

Sementara itu, Mujahid berkata Isu perang Palestin ini bukan bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Sebaliknya, kata naib presiden Amanah itu, ia bermula sejak peristiwa Nakbah 75 tahun lalu.

“Apa yang dilakukan adalah aksi kepada penjajahan, penyeksaan.

“Gaza penjara terbesar dunia kepada lebih 2.2 juta rakyat Palestin yang dinafikan perkara asas seperti air dan elektrik.

“Hari ini collateral damage dibuat Israel dengan menyerang sekolah, hospital. (Malah) pusat PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) pun dibom.

“Jadi mungkin dia jahil tentang sejarah Palestin,” katanya.

Nakbah, yang bermaksud “malapetaka”, merujuk kepada pengusiran dan perpindahan rakyat Palestin sekitar penubuhan Israel dan perang pada tahun 1948.

Setakat berita ini ditulis, konflik antara Hamas dan Israel mengorbankan hampir 20,000 korban nyawa, kebanyakannya daripada pihak Palestin.