Duta EU nafi campuri hal-ehwal dalaman M'sia
Duta Kesatuan Eropah ke negara ini berkata beliau tidak pernah berniat untuk campurtangan dalam urusan dalam negeri Malaysia dengan mengkritik dasar-dasarnya yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu dan bumiputera sehingga mencetuskan konflik diplomatik mengenainya.
Duta Kesatuan Eropah ke negara ini berkata beliau tidak pernah berniat untuk campurtangan dalam urusan dalam negeri Malaysia dengan mengkritik dasar-dasarnya yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu dan bumiputera sehingga mencetuskan konflik diplomatik mengenainya.
Khamis lalu, Thierry Rommel telah mengkritik dasar-dasar tersebut yang menurutnya tidak baik untuk negara ini dan boleh menghalang perjanjian perdagangan bebas (FTA).
Rommel memberitahu AFP semalam bahawa beliau belum lagi menerima nota bantahan rasmi dari kerajaan Malaysia, tetapi berkata, beliau hanya merujuk kepada implikasi ekonomi akibat pelaksanaan dasar-dasar seumpama itu.
"Bukan niat saya untuk mencampuri hal-ehwal dalam negeri (Malaysia). Rasional saya menimbulkan dasar (keistimewaan) bumiputera itu adalah mengenai kaitannya dengan rundingan FTA. Ianya mengenai ekonomi dan tiada lain daripadanya," katanya.
Beliau berkata, dasar-dasar seumpama itu adalah "mengenai diskriminasi dan perlindungan" yang boleh menyukarkan rundingan perdagangan dengan EU.
"Apakah ia satu kejutan besar apabila berkata rundingan perdagangan antarabangsa selalunya memberi implikasi terhadap pelarasan domestik," tambahnya.
Kurang kefahaman
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kementeriannya akan memanggil Rommel untuk memberi penjelasan mengenai komennya itu sebelum satu keputusan dibuat berhubung penghantaran nota bantahan rasmi, lapor agensi berita Bernama semalam.
"Kita kecewa kerana seorang diplomat telah membuat kenyataan seumpama itu, yang mencerminkan kurang kefahamannya terhadap peranan seorang duta atau diplomat untuk tidak mencampuri hal-ehwal dan dasar-dasar dalaman sesebuah negara," katanya dalam laporan Bernama.
Syed Hamid, yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Itali berkata, ini adalah kali pertama seorang diplomat membuat komen sensitif seumpama itu.
Duta Malaysia ke Brussels juga akan menemui wakil-wakil EU untuk memaklumkan reaksi Malaysia berhubung komen tersebut.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi amaran dan akhbar the Star melaporkan beliau sebagai berkata kenyataan Rommel itu boleh diangap sebagai "campurtangan dalam pentadbiran negara ini".
Malaysia telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak 1970 untuk merapatkan jurang kekayaan antara orang Melayu dengan kaum Cina.
Penduduk Malaysia berjumlah 27 juta dengan 60 peratus daripadanya Melayu-Islam, 26 peratus kaum Cina dan 8 peratus kaum India. - AFP

