Kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bertindak keluar dewan selepas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, menolak lima usul mereka, termasuk usul membahaskan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS yang mengakui secara terbuka melakukan pemindahan pengundi.

Ketua Dewan Ulama PAS itu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kawasan Demit membuat pengakuan tersebut dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Speaker Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menolak usul tersebut yang dibawa oleh Datuk Mohd Zain Ismail (BN-Bukit Tuku).

Wan Abdul Rahim menolak kesemua usul anggota BN itu dengan menggunakan Peraturan 125 (1) Peraturan Persidangan Parlimen, demikian menurut laporan Bernama.

Menurutnya, beliau mempunyai kuasa muktamad untuk menolak sebarang usul yang dikemukakan tanpa boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Wakil rakyat BN yang diketuai Datuk Seri Annuar Musa berhujah memohon Speaker menimbangkan keputusannya itu dengan alasan usul berkenaan melibatkan kepentingan rakyat yang memerlukan perhatian segera kerajaan negeri.

Selepas permohonan Annuar tidak dilayan, kesemua wakil rakyat BN - yang merupakan pembangkang di DUN Kelantan - bangun keluar dewan, kira-kira 20 minit persidangan keempat DUN Kelantan yang bermula jam 9 pagi ini.

Usul ditolak

Empat lagi usul anggota BN yang ditolak ialah:

- Usul berkaitan isu pengurusan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang dikemukakan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga);

- Usul mengenai isu pengurusan dan masalah dalaman melibatkan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang dibawa oleh Datuk Dr Ilias Husain (BN-Jelawat);

- Usul pemansuhan cukai bandar Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) yang dikemukakan oleh Hanafi Mamat (BN-Pengkalan Pasir); dan

- Usul mengenai Skim Perlindungan Sosial Warga Emas (Kifalah) yang didakwa tidak dilaksanakan sebagaimana kelulusan yang dibuat semasa sesi Belanjawan 2007 yang dibawa oleh Mohd Rosdi Abdul Aziz (BN-Wakaf Baru).

Sesi soal jawab kemudiannya diteruskan dengan hanya wakil rakyat PAS mengambil bahagian.

Sidang berkenaan berlangsung sehingga jam 11 pagi sebelum berhenti rehat dan disambung semula pada jam 2.30 petang tadi.