Tambahan kerusi: Puteri serah pada parti
Pergerakan Puteri Umno menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk menentukan jumlah kerusi untuk ditandingi anggota pergerakan itu di peringkat Parlimen dan negeri dalam pilihanraya umum akan datang.
Pergerakan Puteri Umno menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk menentukan jumlah kerusi untuk ditandingi anggota pergerakan itu di peringkat Parlimen dan negeri dalam pilihanraya umum akan datang.
Menurut Naib Ketua Puteri Umno, Rosnah Shirlin Abdul Rashid, pucuk pimpinan Umno yang paling layak menilai sama ada pergerakan itu perlu diberikan tambahan kerusi atau tidak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, bagi Puteri, yang penting ialah memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) tanpa mengira calonnya dari Wanita, Pemuda atau Puteri.
"Jika pucuk pimpinan memutuskan Puteri bertanding lebih banyak kerusi dalam pilihnaraya umum akan datang, kami akan menerimanya.
"Kalau hanya empat kerusi seperti yang ada sekarang ini pun, Puteri juga tidak ada sebarang masalah dan rungutan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketika ini terdapat empat wakil rakyat dari Puteri iaitu dua Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Selain Rosnah, tiga lagi ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said dan Adun Paroi, Bibi Shaliza Mohd Khalid dan Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob.
Tunjuk kesungguhan
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Terengganu, yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Nordiana Shafie berkata, jawatan ahli Parlimen dan Adun memerlukan komitmen dan kesungguhan.
"Biar orang lain (pemimpin) yang menilai kita. Kalau mereka rasa Puteri bagus, sudah tentu lebih banyak kerusi akan diberi dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.
Senator Nordiana berkata, kuota kerusi untuk wanita ialah 30 peratus tetapi setakat ini kerusi Dewan Rakyat cuma sembilan peratus dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kira-kira tujuh peratus.
Katanya, kuota untuk Puteri masih kecil berbanding ahlinya seramai lebih 200,000 orang, tetapi pergerakan itu menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
"Apa yang penting ialah pemimpin Puteri diberi pendedahan dari masa ke semasa untuk menggantikan pemimpin lama dalam parti apabila tiba masanya," katanya.
Seorang pemimpin Puteri Umno Melaka yang enggan namanya disiarkan berkata, keempat-empat pemimpin Puteri itu telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak pilihanraya umum lalu.
Untuk itu, katanya, beberapa ketua Puteri negeri perlu diberi peluang bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum akan datang.
"Walaupun usia mereka muda, kematangan dan disiplin kerja yang ditunjukkan sama dengan pemimpin Umno lain yang lebih dewasa," katanya.

