Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pua - Penerbangan percuma lagi murah berbanding faedah HSR
Diterbitkan:  Dec 21, 2023 5:19 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Veteran DAP Tony Pua berpendapat bahawa adalah lebih murah untuk menyediakan penerbangan percuma kepada rakyat Malaysia ke Singapura daripada membayar faedah untuk pembiayaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Kiraannya itu adalah berdasarkan yang dikeluarkan oleh syarikat data penerbangan OAG, yang mendapati penerbangan dari KLIA ke Changi adalah laluan antarabangsa paling sibuk untuk 2023, iaitu pada 4.9 juta kerusi.

Dengan andaian setiap kerusi berharga RM400, Pua berkata, jumlah terkumpul adalah sehingga RM2 bilion setahun.

Secara perbandingan, katanya projek HSR akan menelan belanja RM80 bilion jika kerajaan membiayai projek itu.

“Pada kadar faedah 5 peratus, projek HSR akan menelan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM4 bilion bagi faedah setiap tahun.

'Sama ada permintaan (untuk penumpang HSR) akan melebihi kos operasi adalah perkara lain sama sekali.

"Jadi kesimpulan mudah, pada kos faedah RM4 bilion untuk HSR, mungkin adalah lebih baik jika semua penerbangan antara KL dan Singapura diberikan secara percuma dan kerajaan masih jimat RM2 bilion," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambahnya, kos penerbangan percuma akan menjadi lebih murah jika ia hanya diberikan kepada rakyat Malaysia.

Dia berkata ini menunjukkan bahawa projek HSR tidak berdaya maju untuk Malaysia.

Projek HSR telah ditangguhkan pada 2021 selepas Malaysia dan Singapura gagal mencapai kata persetujuan mengenai pelaksanaannya.

Kerajaan semasa berkata ia terbuka untuk memulihkan projek itu, tetapi Putrajaya tidak akan membiayainya.

Sebaliknya, kerajaan hanya akan mempertimbangkan inisiatif pembiayaan swasta.

Antara yang menyokong supaya projek HSR diteruskan semula ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim mahu laluan HSR melalui Forest City, sebuah projek pembangunan yang sedang sakit yang baginda mempunyai kepentingan.

[Baca berita utama]

Lihat Komen
ADS