Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HSR boleh diteruskan selagi tidak dibiayai kerajaan - Loke
Diterbitkan:  Mar 8, 2023 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Malaysia mengambil sikap terbuka terhadap sebarang cadangan untuk mengembalikan pelaksanaan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, selagi ia tidak melibatkan pembiayaan oleh kerajaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kerajaan mengalu-alukan sebarang cadangan daripada pihak swasta yang berhasrat meneruskan projek mega itu.

“Kita tidak akan menghalang. Perdana Menteri telah memberikan arahan kepada saya, bahawa kita boleh berbincang mengenainya. Kita terbuka kepada sebarang cadangan daripada pihak swasta selagi ia tidak melibatkan pembiayaan kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan di majlis anjuran Invest Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya setakat ini kerajaan belum menerima sebarang cadangan tertentu atau menyeluruh daripada pihak swasta mengenainya, dan tidak ada tempoh waktu ditetapkan untuk projek berkenaan, kerana cadangan pelaksanaannya telah dibatalkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini.

“Tiada keperluan mendesak dari segi melaksanakan sebarang projek bersejarah, jadi ketika ini kita terbuka kepada mekanisma pelaksanaan dan pembiayaan baharu.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura membuat pengumuman bersama mengenai pembatalan projek HSR kerana kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.

Sementara itu semasa ditanya mengenai cadangan pembinaan pelabuhan Pulau Carey, Loke berkata Lembaga Pelabuhan Klang telah membuat kajian kebolehlaksanaan mengenainya dan kertas Kabinet akan disediakan tidak lama lagi.

“Ada sektor swasta yang berminat untuk membangunkan pelabuhan itu, tetapi kini ia masih di peringkat awal,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS