Kira-kira 600 pekerja swasta mengadakan piket di ibu negara hari ini untuk mendesak kerajaan memperkenalkan gaji minimum RM900 dan elaun saraan hidup (COLA) RM300 kepada pekerja swasta.

Mereka berpiket di depan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut mulai jam 5 petang hingga 6.30 petang.

Kira-kira 20 anggota polis berpakaian seragam berkawal di sekitar kawasan tersebut.

Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah dan ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT), Latheefa Koya hadir sama.

Mereka melaungkan perkataan`Kami Mahu Gaji Minimun RM900 dan COLA RM300 serta memegang poster yang bertulis '50 tahun merdeka kekayaan negara tidak dikongsi bersama."

Kenderaan yang melalui Jalan Raja Laut di tempat kejadian membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Bagaimanapun, lalu lintas lancar kerana anggota polis trafik berkawal.

Seorang pekerja, Balasingam Palanisamy berkata, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap permintaan tersebut kerana kerana kenaikan harga barangan keperluan harian membebankan pekerja swasta bergaji rendah.

Keperitan hidup

"Permintaan itu sangat ringkas. Keperitan hidup semakin terasa terutama yang mempunyai anak ramai dan keluarga besar," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, setiap kali berlaku kenaikan harga barangan keperluan harian, pekerja swasta bergaji rendah sering mengeluh kerana kos hidup yang tinggi.

Seorang lagi pekerja, Abdul Zaman Abdul Baki berkata, pekerja berpiket kerana mahu menuntuk kerajaan memenuhi permintaan supaya gaji pekerja swasta ditetapkan minima RM900 dan COLA RM300.

"Kenaikan harga barangan telah menyebabkan kehidupan pekerja swasta bergaji rendah menjadi semakin susah dan sesetengahnya terpaksa melakukan dua kerja," katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, pekerja akan terus mengadakan piket sehingga kerajaan membenarkan majikan swasta mengenakan gaji minima RM900 sebulan dan COLA RM300.

Beliau yakin berikutan piket yang dibuat di seluruh negara, kerajaan akan memenuhi permintaan pekerja swasta itu.

Seorang pegawai polis yang ditemui berkata, piket tersebut dibuat secara haram kerana tidak mendapat permit tetapi pihaknya tidak mengambil tindakan kerana ia dibuat secara aman.

Katanya, anggotanya datang bagi mengawal keadaan dan mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.