Wanita Mongolia, Uuriintuya Gal-Ochir, menafikan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa beliau, Altantuya Shaariibu dan sepupu Altantuya, Namiraa Gerelmaa, datang ke Malaysia untuk memeras ugut penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda.

Uuriintuya turut menolak cadangan Kamarul Hisham Kamaruddin, peguambela Koperal Sirul Azhar Umar yang dituduh membunuh Altantuya, bahawa penyiasat persendirian Ang Chong Beng diupah oleh Altantuya untuk membantu menjayakan rancangan mereka.

Saksi keempat pendakwaan itu turut menolak cadangan Kamarul Hisham semasa sesi soal balas, kononnya beliau mengetahui bahawa penyiasat persendirian P Balasubramaniam dan pembantunya, K Suras Kumar, diupah oleh Abdul Razak untuk melindungi penganalisis politik itu daripada ketiga-tiga wanita Mongolia tersebut, demikian menurut laporan Bernama.

Kamarul Hisham membuat ketiga-tiga cadangan itu ketika bertanya kepada Uuriintuya mengapa beliau tidak bertanya apa-apa kepada Altantuya tentang Abdul Razak dan gangguan dari Balasubramaniam dan Suras Kumar sepanjang mereka berada di Malaysia, Oktober tahun lalu.

Uuriintuya, 30, menyambung keterangannya pagi ini dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Shah Alam.

Penganalisis politik itu dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober 2006 di pejabatnya di Bangunan Lembaga Getah Asli di Ampang.

Cincin emas

Terdahulu, Uriintuya diminta mengenalpasti sepasang subang dan sebentuk cincin emas bertatah berlian putih milik Altantuya.

Katanya, beliau melihat rakannya itu memakai kedua-dua barang kemas itu dan jamtangan sebelum dia dilaporkan hilang selepas pergi ke rumah Abdul Razak pada malam 19 Oktober 2006.

Uriintuya turut memberitahu mahkamah bahawa beliau, Altantuya dan Namiraa tidak membuat laporan polis mengenai gangguan oleh Suras Kumar kerana mengetahui Abdul Razak mengenali ramai pegawai polis.

Katanya, Altantuya memberitahunya perkara itu selepas kejadian Suras Kumar datang dan bermalam di bilik hotel mereka pada 11 Oktober tahun lalu.

Uriintuya berkata sepanjang mengenali Altantuya, beliau tidak pernah bertanya mengapa rakannya itu perlu berjumpa dengan Abdul Razak.

Katanya beliau juga tidak pernah bertemu dengan Abdul Razak di Mongolia dan tidak mengetahui apa-apa tentang perkahwinan Altantuya dan penganalisis politik itu.

Uriintuya turut menafikan telah berpakat dengan Namiraa untuk memberi keterangan di mahkamah berkaitan kes itu.

Razak hadiah cincin'

Sementara itu, Uuriintuya memberitahu mahkamah bahawa Abdul Razak menghadiahkan Altantuya sebentuk cincin emas bertatahkan berlian.

Katanya, ia diberitahu sendiri oleh Altantuya bahawa ia diberikan oleh teman lelakinya.

Ketika disoal oleh Karpal Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga wanita Mongolia itu, Uuriintuya berkata, beliau pasti cincin itu adalah milik Altantuya.

Selain cincin itu, dia mengecam sepasang subang yang dibeli di Mongolia dan jam tangan jenama Larmes yang dibeli di Hong Kong sebagai barangan milik Altantuya.

Uuriintuya juga menafikan beliau meminta wang daripada Abdul Razak

Katanya, dia juga tidak mengetahui sama ada Altantuya dan penyiasat upahannya, Ang Chong Beng, turut meminta wang daripada penganalisis politik itu.

Beliau yang disoal balas Wong Kian Kheong juga tidak bersetuju dengan cadangan peguambela Abdul Razak itu bahawa bahawa beliau kehabisan wang setelah seminggu berada di Malaysia.

Uuriintuya, yang menemani Altantuya ke Malaysia pada 8 Oktober 2006, mengakui, walaupun diancam oleh penyiasat persendirian upahan Abdul Razak dan membuat laporan polis berhubung perkara itu, beliau, Altantuya dan sepupu Altantuya, Namiraa Gerelmaa masih pergi ke rumah Abdul Razak pada 19 Oktober 2006.

Dia turut mengakui dirinya tidak pernah bertemu dengan Abdul Razak sebelum Altantuya dilaporkan hilang setelah pergi ke rumah tertuduh ketiga itu pada malam 19 Oktober.

Laporan polis

Sementara itu, Uuriintuya memberitahu mahkamah bahawa beliau dan Altantuya tidak membuat laporan polis berhubung gangguan dan ancaman dari penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak kerana mengetahui penganalisis politik itu mengenali ramai pegawai polis.

Katanya, maklumat mengenai kenalan Abdul Razak yang ramai dalam kalangan pegawai polis, diberitahu sendiri oleh Altantuya selepas penyiasat persendirian, K Suras Kumar dan P Balasubramaniam, mengganggu mereka antara enam dan tujuh kali sejak mereka tiba di negara ini pada 8 Oktober 2006.

Dia memberitahu demikian ketika disoal balas oleh Kamarul Hisham Kamarudin, peguam yang mewakili Kpl Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, yang masuk hari ketujuh hari ini.

Beliau sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa Suras mengancam untuk mencampaknya, Altantuya dan Namiraa Garelma, keluar dari tingkap bilik di Hotel Malaya, Kuala Lumpur, tempat mereka menginap.

Kamarul Hisham: "Benar atau tidak, semasa Suras datang malam itu, seorang daripada kamu membiarkan dia masuk?

Uuriintuya: "Altantuya yang buka pintu".

Kamarul Hisham: "Jadi, awak biarkan dia masuk?"

Uuriintuya: "Dia (Suras) ketuk pintu dengan kuat. Tetamu lain mungkin bangun. Jadi Altantuya membuka pintu."

Kamarul Hisham: "Dia masuk dan pergi tidur?"

Uuriintuya: "Sebaik dia masuk, dia letakkan topi keledarnya di lantai, dan terus tidur."

Kamarul Hisham: "Kamu kata semasa dia tidur, ketiga-tiga kamu berdiri dan amat takut."

Uuriintuya: "Ya".

Kamarul Hisham: "Masa itulah ketiga-tiga kamu pergi berjumpa pengurus hotel dan kemudian membuat laporan polis?"

Uuriintuya: "Tidak."

Teman lelaki Altantuya

Saksi itu tidak bersetuju apabila Kamarul Hisham berkata mereka boleh membuat laporan polis pada 11 Oktober 2006 (tarikh gangguan).

Uurintuya turut memberitahu mahkamah bahawa sepanjang beliau bersama Altantuya, dia tidak mengetahui sebab rakannya itu perlu berjumpa dengan Abdul Razak dan dia hanya diberitahu bahawa Abdul Razak adalah teman lelaki Altantuya.

Katanya, walaupun telah berada di Malaysia dan berdepan pelbagai masalah dan ancaman daripada kedua-dua penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak, Uuriintuya berkata dia tidak menyoal Altantuya.

"Di Mongolia, saya pernah dengar nama Razak. Setahu saya, nama teman lelaki Altantuya ialah Razak Baginda. Saya tidak tahu sebarang butir, dan apabila tiba di Malaysia, dia tidak memberitahu butiran mengenai Razak Baginda. Pada 9 Oktober 2006, sebelum pergi ke bangunan itu, saya hanya tahu dia hendak berjumpa Razak Baginda," kata Uurintuya.

Kamarul Hisham : "Antara kali pertama dan kali terakhir awak pergi ke bangunan itu, adakah Altantuya memberitahu kamu apa-apa lagi mengenai Razak Baginda. Tidakkah kamu bertanya?"

Uuriintuya: "Tidak. Dia sekadar berkata Razak adalah teman lelakinya. Dia perlu menemuinya."

Kamarul Hisham: "Tidakkah kamu bertanya Altantuya kenapa sukar sangat nak berjumpanya?"

Uuriintuya : "Oleh kerana saya lihat dia muram, saya tidak bertanya. Dia tidak memberitahu kepada saya. Jadi saya tidak mahu campurtangan dalam soal peribadinya. Tetapi saya rasa dia ada sebab untuk menemuinya."

Kamarul Hisham : "Saya tak faham, jadi saya ingin bertanya kamu. Semasa di Mongolia, dia tidak memberitahu apa-apa kepada kamu, jadi kamu tidak bertanya. Semasa di Malaysia, dia tidak memberitahu apa-apa, dan kamu tidak bertanya. Kamu rasa ini wajarkah?"

Uuriintuya: "Saya tidak meminta butirnya. Saya sekadar hendak pergi membeli-belah dan melawat Malaysia."

Kamarul Hisham: "Saya dapati ini pelik. Kamu kata bahawa antara 9 Oktober, kali terakhir kamu ke pejabat Razak baginda dan kekecohan itu, kamu lebih utamakan membeli-belah? Sebelum ini, kamu kata kamu tidak bertanya apa-apa kerana itu soal peribadinya dan kamu tidak mahu masuk campur, dan walaupun dengan gangguan itu, kamu pentingkan soal beli-belah?"

Uuriintuya: "Saya hanya pergi membeli-belah pada 9 dan 10 Oktober 2006."

Hakim Mohd Zaki Md Yasin kemudian bertanya kenapa beliau tidak mengemukakan persoalan mengenai apa yang berlaku sedangkan sebelum ini dia menyatakan dia takut dengan ancaman dan ugutan yang dibuat oleh Suras Kumar dan Balasubramaniam.

"Saya tanya Altantuya kenapa dia tidak dapat berjumpa Razak. Altantuya kata dia (Razak) pergi ke sebuah pulau dengan keluarga. Itu yang diberitahu oleh Balasubramaniam kepada Altantuya," kata Uuriintuya, yang kadangkala merungut dan mengetuk-getuk jarinya di meja saksi.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa tujuannya ke negara ini adalah untuk memeras ugut wang daripada Abdul Razak dan menafikan bahawa Ang Chong Beng, penyiasat persendirian Altantuya, telah diupah untuk membantu Altantuya.

Terus jumpa

Uuriintuya Gal Ochir juga memberitahu mahkamah, Altantuya masih terus berjumpa dengan penyiasat persendirian upahan Abdul Razak Balasubramaniam dan Suras walaupun lelaki tersebut pernah mengancam dan menganggunya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Abdul Razak, Uuriintuya, 30, berkata Altantuya berbuat demikian kerana perlu berjumpa Abdul Razak walaupun sekali.

Wong: "Anda beri keterangan bahawa Suras datang ke bilik anda lima kali. Bersetuju bahawa Suras datang ke bilik selepas ugutan dibuat pada 11 Oktober?

Uuriintuya: "Ya."

Wong: "Bersetuju bahawa sepanjang lima kali Suras datang ke bilik, anda boleh tidak membenarkan dia masuk?

Uuriintuya: "Tidak."

Wong: "Adakah anda hubungi pengurusan hotel apabila Suras mengetuk pintu dengan kuat?"

Uuriintuya: "Hanya pada kali kelima dan terakhir dan bagi empat kali sebelum itu, Altantuya memberitahu pekerja hotel supaya jangan benarkan lelaki yang menunggang motosikal masuk. Tetapi pekerja berkenaan bekerja mengikut syif. Pekerja syif lain membenarkan dia masuk."

Sebelum itu Uuriintuya, seorang surirumah memberitahu, beliau tidak pernah melihat Abdul Razak di Mongolia dan juga tidak mengetahui sama ada penganalisis politik terbabit telah berkahwin dengan Altantuya pada Oktober 2006.

Katanya, dia bukan sahaja tidak tahu malah tidak pernah bertanya kepada Altantuya mengenai perkara tersebut.

Nafi berpakat

Wanita tersebut turut menafikan dakwaan Wong bahawa beliau telah berpakat dan berbincang dengan Namiraa Gerelmaa, 23, tentang apa yang berlaku pada 2006 sebelum memberi keterangan di mahkamah.

Wong: "Adakah Namiraa beritahu anda apa yang berlaku kepadanya dalam mahkamah?"

Uuriintuya: "Tidak. Dia hanya beritahu saya yang dia mengangkat tangan."

Sebelum itu, Uuriintuya memberitahu Wong bahawa ketika dia mengikuti Altantuya ke negara ini, dia sedang mengandungkan anak keempatnya yang kini baru mencecah usia empat bulan.

Wong: "Sebelum datang ke Malaysia pada Oktober 2006, adakah anda membuat pertanyaan dengan mana-mana agensi pelancongan mengenai Malaysia?"

Uuriintuya: "Tidak."

Wong: "Adakah anda tempah tiket penerbangan pergi-balik di Mongolia sebelum datang ke Malaysia?. Apakah tarikh dijadual pulang dari Kuala Lumpur ke Mongolia?"

Uuriintuya: "Ya. Ia tiket terbuka. Saya bercadang tinggal tiga hingga tujuh hari."

Wanita itu memberitahu beliau tidak mempunyai kad kredit sebelum datang ke Malaysia pada Oktober 2006 dan hanya mempunyai AS$1800 (tunai).

Kepada soalan Wong bagaimana beliau mengetahui Balasubramaniam dan Suras Kumar telah mengugut Altantuya bermula 11 Oktober tahun lalu. sedangkan beliau tidak memahami bahasa Inggeris dan tiada sesiapa menterjemahkannya, Uurintuya berkata: "Saya dapat rasakan dan lihatnya. Daripada bahasa gerak badan dan muka, saya tahu."

Keterangan PI

Seorang penyiasat persendirian Ang Chong Beng memberitahu mahkamah bahawa Altantuya Shaariibuu mengupahnya sebanyak AS$600 untuk menyiasat Abdul Razak, yang didakwa wanita Mongolia itu sebagai suaminya.

Ang Chong Beng, 56, berkata Altantuya, yang dikenalinya dengan nama Amina, telah memintanya untuk menyiasat lokasi rumah Abdul Razak dan sama ada "suaminya" itu berada di Malaysia atau di luar negara.

Beliau kemudian diminta oleh Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup, untuk mengenal pasti Altantuya menerusi gambar dan mengesahkan Amina yang dikenalinya adalah Altantuya seperti dalam gambar tersebut.

Ang, saksi kelima pendakwaan dalam kes pembunuhan Altantuya, berkata bahawa pada September 2006, Altantuya menghubunginya melalui telefon dan meminta beliau bertemunya di Hotel Malaya di Kuala Lumpur.

Manoj: "Apakah tujuan Amina berjumpa dengan kamu?"

Ang: "Dia menyuruh saya menyiasat tentang suaminya."

Manoj: "Siasat apa?"

Ang: "Menyiasat sama ada suaminya berada di Malaysia atau di luar negara."

Manoj: "Adakah Amina beritahu kamu nama suaminya?"

Ang: "Ada. Abdul Razak Abdullah Baginda."

Cari maklumat

Ang, yang memberikan keterangannya dalam bahasa Mandarin dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh jurubahasa, berkata. beliau kemudian bersetuju untuk membantu Altantuya mencari maklumat yang diperlukan oleh wanita itu.

Ketika ditanya sama ada terdapat apa-apa bayaran dibuat untuk perkhidmatannya, Ang menjawab: "Dia kata dia akan bagi duit apabila sampai di Mongolia. Pada 1 Oktober dia kata ada masukkan duit ke dalam bank saya sebanyak AS$600."

Ang memberitahu mahkamah bahawa selepas pertemuan di Hotel Malaya pada September 2006, beliau sekali lagi berjumpa dengan Altantuya di tempat yang sama pada 9 Oktober 2006, dan kali ini Altantuya ditemani dua wanita Mongolia yang lain.

Beliau kemudian mengenal pasti dua wanita itu sebagai Uuriintuya Gal Ochir dan Namiraa Gerelmaa.

Manoj: "Pertemuan pada 9 haribulan di Hotel Malaya, adakah Amina minta dari kamu untuk dibawa ke mana-mana?"

Ang: "Amina minta saya bawanya ke office (pejabat) Abdul Razak di Jalan Ampang."

Manoj: "Adakah kamu berbuat demikian?

Ang: "Ada. Selain daripada Amina, dua lagi perempuan Mongolia bersama Amina dan seorang assistant (pembantu) saya ikut (ke pejabat Razak).

Naik kereta pembantu

Saksi itu seterusnya memberitahu mahkamah beliau telah menghantar mereka bertiga dengan menaiki kereta pembantunya ke Bangunan Lembaga Getah Asli dan selepas itu beredar meninggalkan mereka di situ.

Manoj: "Pada hari tersebut selepas bawa ketiga-tiga perempuan itu ke bangunan LGM, berapa lama mereka di sana?

Ang: "Kami tunggu agak lama dari 9.30 pagi hingga lebih kurang jam 4.30 petang."

Manoj: "Tunggu di mana?"

Ang: "Tunggu di tepi jalan depan bangunan LGM."

Manoj: "Bagaimana kamu tahu mereka tunggu tujuh jam?"

Ang: "Assistant (pembantu) saya yang beritahu saya. Dia selalu berhubung dengan saya."

Ang memberitahu mahkamah, Altantuya dan rakan-rakannya telah meminta beliau menghantar mereka ke bangunan itu beberapa kali selepas kali pertama itu.

Manoj: "Ada kamu nampak perempuan Mongolia itu masuk ke dalam bangunan?"

Ang: "Ada sekali. Saya tidak ikut. Saya tunggu di kereta. Saya nampak dia (Amina) bawa satu note (nota) bagi pada guard (pengawal) untuk bagi kepada Abdul Razak."

Manoj: "Adakah kamu nampak kandungan nota tersebut?"

Ang: "Tidak."

Nampak lelaki India

Manoj kemudian bertanya sama ada beliau ada ternampak dua lelaki India semasa membawa Altantuya dan rakan-rakannya ke bangunan itu dan Ang menjawab: "Pada masa itu saya hanya nampak seorang sahaja lelaki India, namanya adalah Bala."

Manoj: "Selain daripada siasat sama ada Razak Baginda ada di Malaysia atau tidak, adakah Amina minta kamu cari maklumat lain?

Ang: "Tidak. Dia hanya suruh saya siasat di mana rumah Razak Baginda."

Ang memberitahu mahkamah, pada 12 Oktober, 2006, beliau berjaya mencari alamat rumah Abdul Razak di Jalan Setiajaya, Bukit Damansara dan Altantuya telah meminta beliau membawanya ke sana beberapa kali, bagaimanapun sepanjang pengetahuan beliau, Altantuya gagal bertemu dengan Abdul Razak.

Manoj: "Pada 17 Oktober, adakah kamu bawa Amina ke rumah Razak Baginda?"

Ang: "Ada sekali, jam 11 malam lebih."

Manoj: "Apakah tujuan Amina ke rumah Razak Baginda sebegitu lewat?"

Ang: "Amina sangat marah kerana Razak Baginda tidak ingin jumpa dengannya."

Manoj: "Selain daripada Amina, ada orang lain ikut kamu?"

Ang: Hanya saya dan Amina."

Manoj: "Apabila sampai ke rumah Razak Baginda pada 17 Oktober, apa yang berlaku?"

Ang: "Saya biarkan Amina turun kereta, saya berhenti di tempat jauh dan perhatikannya. Tidak lama kemudian ada sebuah kereta polis membawa Amina ke Balai Polis Brickfields."

Ang memberitahu mahkamah, sebelum Altantuya dibawa oleh polis, Bala (P Balasubramaniam) telah berada di situ sejak awal lagi dan kemudian melihat Bala dan Altantuya bercakap-cakap, bagaimanapun beliau tidak mendengar perbualan itu kerana berada jauh dari tempat mereka.

Manoj: "Berapa lama mereka bercakap sebelum kereta polis sampai?"

Ang: "Lebih kurang dalam 10 minit."

Suasana gelap

Ang memberitahu mahkamah, beliau tidak dapat mengecam anggota polis yang datang menaiki kereta peronda itu kerana ketika itu keadaan persekitaran sangat gelap.

Beliau kemudian menceritakan selepas Altantuya dibawa pergi dengan kereta peronda itu ke balai, beliau melihat Balasubramaniam dan seorang lagi lelaki India telah menaiki sebuah teksi menuju ke Balai Polis Brickfields.

Manoj: "Macam mana kamu tahu Amina di bawa ke balai polis Brickfields?"

Ang: "Saya ikut kereta peronda itu dari belakang dan pergi juga ke balai polis Brickfields."

Dalam keterangannya, Ang berkata beliau telah dihalang oleh Balasubramaniam yang berada di depan pintu balai polis itu bersama Suras (K Suras Kumar), daripada memasuki balai berkenaan.

"Bala kata Razak Baginda adalah orang atasan. Dia tidak ingin nama Razak keluar di surat khabar jika berlaku apa-apa. Bala suruh saya panggil Amina keluar dari balai polis dan settlekan (selesaikan), suruh Amina jangan buat report (laporan) polis. Saya kata baguslah macam itu. Semuanya boleh selesai, " kata Ang.

Ang memberitahu mahkamah, selepas itu beliau berjumpa dan berbincang dengan Altantuya serta memintanya keluar dari balai polis untuk bertemu dengan Balasubramaniam dan Suras.

Dalam perjumpaan itu, Altantuya memberitahu dia tidak akan membuat laporan polis dan meminta wang sejumlah AS500,000 diberikan kepadanya oleh Abdul Razak.

Manoj: "Semasa Amina katakan ini kepada Bala, di mana kamu berada?

Ang: "Di sebelah Amina."

Manoj: "Adakah Bala katakan apa-apa?"

Ang: "Ada. Dia kata perkara ini dia akan cakap dengan Razak Baginda."

Manoj: "Cuba ingat selain dari wang AS500,000, ada Amina minta apa-apa lain?

Ang: "Saya tidak tahu."

Perbicaraan disambung esok.