Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)Azmin Ali menyifatkan tindakan Ezam Mohd Nor keluar dari PKR bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan kerana spekulasi mengenainya sudahpun tersebar sejak lima tahun yang lalu.

"Saya pernah rapat dengan beliau, saya tahu 'permainannya'. (Perkembangan) ini hanya membuktikan bahawa spekulasi tersebut adalah benar," kata Azmin (foto) tetapi enggan mengulas mengenai 'permainan' tersebut.

Ezam, 40, yang menyertai PKR sejak penubuhannya pada 1999, mengesahkan keluar parti itu pada 4 April lalu kerana tidak sehaluan dengan Azmin dan mentor politiknya, yang juga ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga menuduh Anwar seorang 'diktator' yang didakwanya 'mengikut telunjuk' Azmin.

Ezam juga medakwa, Azmin adalah orang di sebalik keputusan Anwar menarik diri daripada bertanding jawatan tertinggi PKR pada saat-saat akhir.

Keputusan bersama

Azmin bagaimana enggan melayan dakwaan Ezam tersebut apabila diminta mengulas mengenainya.

"Dia boleh kata apa sahaja kerana dia terpaksa menyatakan sesuatu sebagai justifikasi tindakannya keluar parti," kata Azmin yang juga pengarah pilihanraya PKR.

"Keputusan (Anwar untuk tidak bertanding jawatan presiden) dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Kita mesti menghormati kebijaksanaan para pemimpin parti," katanya.

Ditanya mengenai pendiriannya terhadap pencalonan Anwar sewaktu mesyuarat tersebut, Azmin berkata ianya "tidak penting lagi" sekarang.

"Saya hanyalah salah seorang anggota MPT," tegasnya.

Ditanya mengenai keputusan Ezam (foto) keluar parti, Azmin mengulangi bahawa ianya adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan beliau menghormati keputusan seseorang untuk masuk dan keluar parti.

"Ramai lagi ahli yang berpegang teguh prinsip dan perjuangan parti dan kita kini semakin kuat," hujahnya.

Sebelum pemecatan Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1988, Azmin berkhidmat sebagai setiausaha sulitnya, manakala Ezam menjadi setiausaha politiknya.

Mesej Anwar

Anwar tidak dapat dihubungi untuk mendapat komennya kerana beliau berada di Eropah. Pembantunya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Anwar akan pulang hujung minggu ini.

Dalam mesej ringkas dalam blognya semalam, Anwar berkata, beliau telah berulangkali ditanya mengenai isu pemimpin dan ahli meninggalkan parti itu sejak kebelakangan ini dan mengenai pergeseran dalam PKR.

Tanpa menyebut sebarang nama, Anwar (foto) menulis, beliau tidak akan menjawab sebarang kritikan teman-temannya secara terbuka tetapi mengakui beliau mempunyai "kelemahan dan keterbatasannya".

"Ada anggapan bahawa dengan kehadiran saya secara berdepan dalam persada politik tanahair, semua kekusutan dan kemelut dapat dileraikan sama ada politik, perniagaan atau kewangan.

"Sesungguhnya ribuan yang berkorban dan berjasa kepada saya, keluarga dan perjuangan. Semuanya berhak menuntut dan seringkali ada pula yang berbentuk ugutan.

"(Bagaimanapun), saya tetap bersyukur kerana puluhan ribu yang lainnya tidak meraih sesuatu, selain kesetiaan kepada perjuangan," katanya. Berita asal