Gara-gara mengimbau kenangan bermain banjir semasa kecil, seorang exco kerajaan negeri Terengganu menerima kecaman daripada netizen.

Ini selepas Azman Ibrahim memuat naik video dua remaja menaiki motosikal sambil menunda seorang budak lelaki menggunakan penutup tangki ketika bermain air bah.

"Kenangan zaman kanak-kanak.

"Nikmatilah zaman kanak-kanak seadanya. Kalau masa boleh diputar kembali, Pok Cik Man pun nak kembali semula ke zaman ini," tulisnya di platform X semalam sambil memaparkan video berkenaan.

Bagaimanapaun ciapan Adun Jabi itu membangkitkan rasa kurang senang di kalangan warga maya.

Antara yang mengkritiknya ialah Adun Skudai, Marina Ibrahim yang menyifatkan kenyataan exco berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab ketika banjir semakin buruk di Terengganu.

"Sangat tak bertanggungjawab. Mesej yang kita sampaikan ni mungkin orang kawasan banjir lain baca dan mungkin dia rasa 'ohh..ok untuk main banjir satu pengalaman”.

"Tapi andai kata lemas atau sesuatu yang tak diingini berlaku, macam mana?" kata Marina.

Meskipun demikian, Azman dilihat tidak mengendahkan kecaman dan kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

Dalam ciapan lain dia menyindir TikTok kerana mengeluarkan video berkenaan di platform media sosial itu.

"Kena ajak tuan Tik Tok mari main air banjir etek (juga)," tulisnya.

Sehingga berita ini ditulis, jumlah mangsa banjir di Terengganu kini meningkat kepada 9,861 orang.