Penduduk tetap Indonesia yang tinggal di negara ini bimbang kerana mereka tidak boleh menukar pasport kerana Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur masih membekukan pengeluarannya.

Berikutan itu, mereka yang mahu pulang ke Indonesia tidak boleh berbuat demikian kerana pasport sekarang tidak diterima lagi oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Beberapa penduduk tetap yang ditemui di sekitar ibu negara berkata, mereka sudah beberapa kali pergi ke Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak untuk menukarkan pasport tetapi diberitahu permohonan belum dibuka.

Selain itu, mereka juga tidak boleh menukar kad pengenalan yang rosak kerana Jabatan Pendataran Negara (JPN) mensyaratkan permohanan mesti disokong dengan pasport Indonesia.

Seorang penduduk tetap, Basiron Marsan berkata, ketiadaan pasport baru, telah menimbulkan pelbagai kesulitan seperti tidak boleh balik ke Indonesia dan sebagainya.

"Bagaimanapun, mereka tidak memberitahu sebab-sebab pembekuan untuk membuat pasport baru, tetapi saya difahamkan pegawai atasan pulang ke Indonesia," katanya yang tinggal di Kampung Baru di Kuala Lumpur.

"Bayaran membuat pasport Indonesia ialah RM160 untuk tempoh lima tahun," katanya.

Permohonan dibekukan

Seorang lagi penduduk tetap, Ali Khalam berkata, beliau sudah dua kali ke Kedutaan Indonesia untuk membuat pasport tetapi kecewa kerana permohonan masih dibekukan sehingga sekarang.

Katanya, ini menyebabkan rancangan untuk pulang ke kampung halamannya di Surabaya, Jawa Timur, terbantut kerana tidak mempunyai pasport.

"Saya tidak tahu bila saya boleh membuat pasport sedangkan Jabatan Imigresen Malaysia kata semua pasport penduduk tetap pertu ditukar sebelum akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Imigresen ketika dihubungi berkata, penduduk tetap perlu memiliki dan membawa pasport negara asal setiap masa untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa apabila diperiksa.

Beliau berkata, jika tidak membawa pasport, mereka boleh ditahan dan dikenakan tindakan kerana gagal menunjukkan dokumen sah.

"Jika mereka telah mendapat taraf warganegara Malaysia, pasport tersebut perlu dikembalikan kepada negara asal mereka," katanya.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, pihaknya tidak mengeluarkan pasport kerana ia adalah urusan Kedutaan Indonesia.

Malaysiakini gagal menghubungi kedutaaan Indonesia untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut tetapi lamanwebnya menyatakan bahawa pembuatan pasport penduduk tetap Indoesia telah berakhrr 31 Jun lalu dan ditutup untuk sementara waktu.