Bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mendakwa rancangan rasionalisasi bayaran tol oleh kerajaan PH ditentang oleh salah seorang penasihat perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, menggunakan alasan perkauman.

Kata Pua penasihat terbabit yakin rancangan berkenaan adalah cara DAP mahu memberi keuntungan kepada masyarakat bukan Melayu.

“Ada seorang bekas penasihat kepada perdana menteri - seorang penasihat ekonomi - yang mengatakan bahawa ini (rancangan rasionalisasi kerajaan PH ketika itu) adalah cara DAP untuk menguntungan syarikat-syarikat Cina.

"Bahkan, (penasihat itu mendakwa ia) bukan sahaja untuk memberi keuntungan kepada syarikat Cina, ia adalah cara DAP untuk memberi manfaat kepada pengguna tol bukan Melayu di Lembah Klang," dakwanya dalam podcast yang dihoskan oleh bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Pua bagaimanapun tidak menamakan siapa penasihat yang dimaksudkannnya itu.

Pada 2019, kerajaan PH bertindak mengambil alih kepentingan dari Gamuda Bhd (Gamuda) dan syarikat bersekutunya yang mengendalikan Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong Smart, Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Pembelian itu dipersetujui pada harga RM6.2 bilion, sebelum menolak hutang yang diandaikan atau tunai RM4.5 bilion.

Tindakan itu menyaksikan sistem bayaran tol digantikan dengan caj kesesakan, dengan pengguna lebuh raya boleh memilih untuk menggunakan laluan berkenaan secara percuma atau bayaran lebih rendah di luar waktu puncak.

Kerajaan pada masa itu menganggarkan pengguna empat lebuh raya terbabit akan dapat menjimatkan bayaran terkumpul RM180 juta setahun.

Walaupun PH tidak dapat melihat rancangan itu menjadi kenyataan, pentadbiran Ismail Sabri Yaakob selepas itu memeterai perjanjian sama dengan Gamuda yang memastikan tiada lagi kenaikan tol di empat lebuh raya terbabit.

Bagaimanapun pelaksanaan bayaran tol di lebih raya berkenaan tidak melibatkan caj kesesakan.

Lemah dalam matematik

Pua yang merupakan setiausaha politik kepada menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, menjelaskan Putrajaya tetap terpaksa membayar berbilion-bilion ringgit kepada pemegang konsesi tol sebagai pampasan kerana tidak menaikkan kadar tol.

"Ia adalah sama ada mereka menamatkan konsesi (seperti yang ditetapkan) bahkan mendapat lebih banyak lagi, dan lebih teruk, pampasan kita kepada Gamuda sendiri akan bertambah lebih daripada jumlah yang kita akan bayar kepada mereka terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, selain naratif penolakan dan penyelamatan terhadap rasionalisasi tol, Pua berkata cabaran lain untuk melaksanakan rancangan berkenaan melibatkan kabinet sendiri.

“Cabaran nombor dua yang saya sedar ialah 80 peratus menteri tidak boleh mengira,” katanya.

Pua menjelaskan mereka yang yang lemah dalam kemampuan matematik itu termasuklah Mahathir sendiri.

Mahathir Mohamad

“Bos saya, Lim, berjumpa dia (Mahathir) dan dia tidak percaya kepada angka-angka, ada rasa tak percaya yang anda boleh kurangkan bayaran pampasan, kurangkan tol, dan pemegang konsesi masih mendapat keuntungan.

"Itu menggambarkan bahawa kita tentu telah menandatangani perjanjian konsesi yang benar-benar kacau apabila ia ditandatangani dulu," katanya.

Pua juga berkata, mungkin ada kebenaran terhadap dakwaan yang Mahathir telah dikelirukan oleh penjawat awam apabila bekas ahli parlimen Langkawi itu memutuskan untuk menswastakan lebuh raya.

[Baca berita asal]