CTOS: DAP mahu penjelasan Bank Negara
DAP mahu Bank Negara memberi penjelasan mengenai Credit Tip Services Sdn Bhd (CTOS) yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu tetapi tidak diluluskan kerajaan.
DAP mahu Bank Negara memberi penjelasan mengenai Credit Tip Services Sdn Bhd (CTOS) yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu tetapi tidak diluluskan kerajaan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ini kerana CTOS telah beroperasi menyalurkan maklumat kewangan individu sebagai rujukan institusi perbankan atau pihak lain.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk M. Kayveas yang mengatakan kerajaan tidak pernah mengiktiraf CTOS.
"Mengapa baru sekarang kerajaan mengatakan CTOS tidak diiktiraf sedangkan mereka telah lama beroperasi," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.
Lim berkata, sesetengah pihak merungut kerana CTOS gagal mengeluarkan nama peminjam walaupun telah membayar pinjaman dan ini menjejaskan kewibawaan kredit seseorang.
"Adakah individu (terjejas kredit) akan diberikan pampasan?," kata Lim.
Senarai nama
Menurutnya, ini merupakan satu perkara yang harus dipandang serius kerana boleh memberi kesan teruk kepada agensi atau institusi kewangan yang lain.
Kayveas berkata, sepertiga anggota Parlimen dikatakan mempunyai rekod di CTOS.
"Apa hak mereka untuk menyimpan maklumat peribadi orang ramai, siapa beri kebenaran," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, kerajaan harus menyenaraikan nama wakil rakyat terbabit dan perlu menyatakan tindakan yang akan dikenakan ke atas mereka.
"Adakah nama mereka telah disenaraihitamkan ,"soalnya.
Tan berkata, perkara ini boleh memberi kesan ke atas kejujuran ahli Parlimen..

