Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan berlakunya sebarang cubaan untuk mengatur pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk pemilihan AMK, dalam kongres tahunan parti itu baru-baru ini.

"Pemilihan parti termasuk pimpinan AMK bebas dari cubaan mengatur pimpinan sebelum pemilihan parti, dan cubaan menangguh pemilihan sebagaimana amalan Umno," kata Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa.

"Oleh itu, tuduhan diktator kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan hari ini..

Katanya, budaya mengkritik pimpinan parti adalah dialu-alukan berdasarkan kepada semangat demokrasi yang sebati dengan PKR.

"Segala kritikan yang benar dan berasas akan dibincangkan secara terbuka dan matang, bukan dengan bermotifkan gimik dan stunt politik," katanya.

Sehubungan itu, kata Fariz, AMK tetap yakin dengan matlamat perjuangan parti dan kepimpinan Anwar untuk melakukan reformasi dan perubahan di Malaysia .

"Tindakan beberapa kerat bekas kepimpinan yang keluar parti dan mengkritik parti hanyalah petanda pilihanraya umum semakin hampir," katanya.

Pernah berlaku

Menurut Fariz, perkara seumpama itu pernah berlaku dalam senario sebelum pilihanraya umum 1999 dan 2004.

Ketika itu, katanya, muncul beberapa bekas pimpinan Pemuda Keadilan di media arus perdana milik kerajaan, menyatakan kepimpinan parti telah hilang tumpuan dan sebagainya.

"Kami menjangkakan selepas ini lebih banyak lagi serangan yang bakal digerakkan dengan menggunakan kelompok yang kecewa untuk mengganggu gugat tumpuan parti menghadapi pilihanraya umum kelak," katanya.

Namun begitu, katanya, tumpuan AMK tidak pernah luntur untuk terus bergerak berhadapan mereka dalam pilihanraya.

"AMK juga ingin menolak dengan keras dakwaan lunturnya demokrasi di dalam parti. Keadilan telah menunjukkan komitmen yang sungguh konsisten dan tegas dalam memperjuangkan demokrasi di dalam dan juga di luar parti," katanya.

Mengenai pemilihan Datuk Seri Anwar sebagai ketua PKR, beliau berkata, persetujuan tersebut dicapai hasil perdebatan terbuka di kongres tahunan parti itu di Seremban, bulan lalu.