Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada diskriminasi, semua perkhidmatan perubatan alternatif kena SST

Semua bentuk perkhidmatan perubatan alternatif yang dikawal selia oleh Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 adalah tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 6 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying memberitahu Malaysiakini bahawa undang-undang itu meliputi perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, perubatan Islam, homeopati dan terapi komplementari.

Malaysiakini difahamkan perkhidmatan perubatan yang dikawal selia di bawah Akta Perubatan 1971 dikecualikan daripada SST kerana ia diiktiraf sebagai perkhidmatan awam.

Baru-baru ini, timbul kekecohan susulan pengeluaran pekeliling oleh bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan, mengingatkan pengamal tentang kewajipan mereka untuk mengutip 6 peratus dalam SST jika memenuhi ambang.

Pekeliling itu juga mengingatkan pengamal perkhidmatan demikian berhubung program pendedahan sukarela bagi mereka yang mempunyai cukai tertunggak yang berkaitan sejak SST diperkenalkan semula pada 2018, selain turut mengingatkan SST akan meningkat kepada 8 peratus mulai Mac 2024.

Lim menjelaskan bahawa SST hanya terpakai untuk perkhidmatan perubatan dan bukannya jenis produk lain yang ditawarkan oleh penyedia ubat alternatif.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan pengamal (perubatan tradisional Cina) tidak mencapai ambang perolehan RM500,000, jadi mereka tidak terjejas," katanya.

Untuk mencapai ambang itu, jika penyedia perkhidmatan perubatan alternatif mencapai hasil RM500,000 dalam tempoh 12 bulan berturut-turut, mereka dikehendaki melaporkan status mereka kepada pihak berkuasa cukai dalam bulan berikutnya. Selepas itu, mereka akan dikehendaki mengutip SST.

Lim berkata dia difahamkan ramai pengamal perubatan tradisional Cina mengambil berat tentang SST dan dia sedang mengatur mesyuarat untuk mereka bertemu pegawai Kementerian Kewangan bagi memastikan terdapat kejelasan.

Keputusan Putrajaya untuk meneruskan dasar SST ke atas pengamal perubatan alternatif dibidas oleh Presiden MCA Wee Ka Siong sebagai satu bentuk diskriminasi.

Wee berkata rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat telah mendapat manfaat daripada terapi alternatif dan beberapa hospital awam juga menyediakan perkhidmatan sedemikian. Selain itu, dia berkata perubatan alternatif juga menjadi subjek penyelidikan di universiti di seluruh dunia.

“Secara ringkasnya, perubatan tradisional cina merupakan salah satu cabang perkhidmatan yang telah diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Kesihatan rakyat adalah keutamaan kita. Saya berharap kerajaan akan terus memberikan pengecualian SST untuk perubatan tradisional dan komplementari, sebagaimana pengecualian telah diberikan untuk perubatan moden," katanya.

Lihat Komen
ADS