Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka sedia bantu keperluan peserta ijtimak Tabligh

Kerajaan Melaka menyokong dan bersedia membantu sebarang keperluan peserta yang menghadiri Ijtimak Dakwah Zon Selatan di Yayasan Dakwah Tabligh, Jalan Sempang Gading, Durian Tunggal.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata perhimpunan yang berlangsung sejak Jumaat lepas dan berakhir hari ini dihadiri lebih 11,000 peserta dari dalam dan luar negara.

“Saya amat berterima kasih dan bersyukur kepada Allah Taala kerana ijtimak tabligh zon selatan ini diadakan di Melaka pada kali ini.

“Apa yang mungkin boleh dibantu oleh kerajaan negeri, insya-Allah kita akan beri sokongan terbaik kepada jemaah tabligh ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ijtimak berkenaan di Alor Gajah hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Fairul Nizam Roslan; dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Ngwe Hee Sem.

Ab Rauf berkata gerakan tabligh merupakan antara medium terbaik menyebarkan Islam kerana mereka bukan sahaja menjalankan misi dakwah di dalam negara, malah turut ke luar negara.

Jemaah tabligh katanya sanggup berkorban wang ringgit, masa dan meninggalkan keluarga untuk jalan dakwah demi mengembangkan syiar Islam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS