FMM: Percepatkan pelaksanaan undang-undang anti-Ali Baba
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan undang-undang "anti-Ali Baba", bagi menangani isu pekerja asing tanpa izin di negara ini.
Menurut presidennya, Soh Thian Lai, undang-undang itu mesti diperkasakan dengan penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Kebanjiran pekerja asing untuk tujuan selain pekerjaan sememangnya membimbangkan dan merupakan masalah negara yang mesti ditangani secara menyeluruh dan telus.
"Sama pentingnya untuk menangani isu pekerja tanpa izin di negara ini ialah memastikan sistem pengambilan pekerja yang boleh dipercayai dan aktiviti penguatkuasaan secara holistik," kata Soh dalam satu kenyataan hari ini.
Dia mengulas langkah kerajaan untuk menggubal undang-undang bagi menamatkan amalan perniagaan “Ali Baba”.
'Ali Baba' ialah satu bentuk amalan menyewakan perniagaan yang diperolehi menerusi projek dan kontrak kerajaan, dengan mensubkontrakkan kerja mereka kepada orang lain.
Mengulas lanjut, Soh berkata, FMM percaya punca utama kemasukan pekerja asing tanpa izin di negara ini ialah dasar sebelum ini membenarkan syarikat atau ejen penyumberan luar membawa masuk pekerja asing sebagai pekerja penyumberan luar, bukannya sebagai pekerja langsung untuk industri.
"Ramai pekerja dibawa masuk melalui saluran ini dengan janji pekerjaan, hanya untuk dibiarkan dalam kesusahan tanpa sebarang kerja yang sepatutnya dijamin untuk mereka. Pekerja-pekerja ini akhirnya menjadi tidak sah kerana mereka perlu mencari rezeki untuk menghantar wang ke negara asal, serta membayar obligasi kewangan mereka untuk datang ke sini pada mulanya.
"Walaupun dasar penyumberan luar telah dimansuhkan, adalah sangat menganggu apabila melihat pekerja dibawa masuk ke negara ini tanpa pekerjaan terjamin, yang berkemungkinan besar disebabkan oleh aktiviti penipuan dalam proses pengambilan - jelas menunjukkan bahawa terdapat kelemahan utama dalam keseluruhan proses pengambilan yang mesti ditangani dan diperkukuh segera," kata Soh.
Perkukuhkan penguatkuasaan
Penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berkuasa juga menyebabkan pekerja tanpa izin tinggal di negara ini untuk tempoh yang lama, kata Soh.
Sebahagian daripada warga asing ini akhirnya menjalankan perniagaan mereka sendiri, yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang tempatan, tambahnya.
"Penguatkuasaan ke atas pihak yang terlibat dan bertanggungjawab dalam aktiviti ini mesti dipertingkatkan. Adalah tidak adil untuk menyalahkan majikan atas tindakan pekerja menyembunyikan diri kerana majikan berada di bawah tekanan yang hebat untuk mematuhi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang ketat dalam operasi perniagaan,” jelasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/01/edf2bef389c65ee70913bc7c421440f6.jpg)
