Beberapa pemimpin Umno bahagian di Kelantan menyuarakan kebimbangan mereka dengan tindak tanduk pemimpin peringkat pertengahan yang sedang ghairah membuat persiapan untuk merebut jawatan utama bahagian, daripada menumpukan kepada pilihanraya umum.

Pemimpin Umno bahagian yang dihubungi malaysiakini bimbang kerana keghairahan golongan tersebut boleh menjejaskan peluang parti itu untuk merampas semula Kelantan dari tangan PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya, pemimpin Umno peringkat pertengahan ghairah mengejar jawatan parti kerana yakin parti itu akan dapat mengambil alih pentadbiran negeri Kelantan.

"Kerana yakin Umno akan memerintah Kelantan selepas pilihanraya umum nanti, maka mereka ini sudah membuat perancangan awal untuk merebut jawatan utama bahagian dalam pemilihan parti selepas itu," kata Ketua Umno bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Zain Nik Omar.

Katanya, kempen yang dijalankan oleh pemimpin peringkat pertengahan ini turut berlaku di kawasannya sejak dua bulan lalu "tetapi sudah agak reda kebelakangan ini".

Katanya, mereka tidak mengendahkan arahan pucuk pimpinan parti supaya ahli dan pemimpin mengutamakan persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang dan bukannya perebutan jawatan.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bahagian dan menggesa mereka supaya bekerja keras untuk memastikan kemenangan Umno dalam pilihanraya umum akan datang.

Pandang remeh arahan

"Saya sedih kerana masih ada yang memandang remeh arahan tersebut walaupun mereka tahu tidak ada pemilihan parti tahun ini.

"Kita perlu mengetepikan perebutan jawatan, dan sebaliknya bersama-sama bekerja kuat untuk kemenangan Umno dan bukannya mahu jatuh menjatuhkan sesama sendiri," katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, Umno perlu bekerja keras di Kelantan kerana 21 kerusi yang dimenanginya di negeri itu dalam pilihanraya umum lalu adalah dengan majoriti kurang 1,000 undi.

Kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sekarang ialah PAS 23 kerusi dan Umno 22 kerusi. Umno juga memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di negeri itu.

Sementara, Timbalan Ketua Umno bahagian Bachok Datuk Dr Ilias Husain berkata, memang ada sesetengah pemimpin Umno yang memberi tumpuan kepada mesyuarat parti daripada persiapan menghadapi pilihanraya umum.

Katanya, mereka bergerak bila tiba musim mesyuarat parti dan ketika inilah pemimpin terbabit turun bertemu ahli parti tetapi tidak melakukan kerja untuk parti menjelang pilihanraya.

"Orang seperti ini beranggapan jawatan dalam bahagian akan memberi keuntungan dari segi projek dan kontrak, berbanding bekerja dalam pilihanraya," katanya.

Beliau mendakwa, mereka ini tidak menghadiri program untuk pilihanraya kerana mereka lebih memberi tumpuan persiapan menghadapi pemilihan parti.