PAS meminta Ketua Delegasi Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EC), Thierry Rommel mendapatkan penerangan yang jelas mengenai sejarah Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan menghapuskan dasar tersebut.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sedia memberi penerangan tentang sejarah Malaysia kepada duta tersebut.

Katanya, memang masih wujud kemiskinan dan jurang antara kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita.

'Prinsip utama negara ialah keadilan, jadi kekayaan negara harus diagihkan tanpa perbezaan kaum dan itulah ajaran Islam," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Rommel supaya DEB dihapuskan kerana menyebabkan pelabur asing meminggirkan ekonomi Malaysia.

Khamis lalu, Rommel mengkritik secara terbuka DEB yang memberi keistimewaan pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan beberapa bidang lain kepada orang Melayu dan bumiputera lain.

Rommel mendakwa, tiada ruang diberi kepada syarikat asing dalam sebahagian besar kegiatan ekonomi domestik di Malaysia.

Beliau turut meminta kerajaan Malaysia mengkaji semula hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera lain yang terkandung dalam DEB.

Bukan perkara baru

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, apa yang dikatakan oleh Rommel bukan perkara baru dan telah menjadi pengetahuan umum.

Katanya, beberapa tuduhan terhadap perkhidmatan awam diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Sepatutnya kerajaan berterima kasih kepada Rommel yang mengingatkan cabaran dan bahaya yang dihadapi negara jika meneruskan dasar yang tidak cekap dan kronisme melebihi ketelusan," katanya dalam kenyataan media.

Mengenai kritikan balas Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kenyataan Rommel itu, Lim berkata, Timbalan Perdana Menteri itu perlu menunjukkan kematangan dalam mempertikaikan dakwaan Rommel dan bukannya mengeluarkan kenyataan secara emosi.

Lim berkata, jika kerajaan menutup mata dan telinga terhadap kritikan membina, maka bermakna kerajaan cuba menukar ekonomi negara kepada dasar ekonomi tertutup.

"Sudah tiba masanya untuk memansuhkan DEB atau negara menghadapi risiko diketepikan oleh globalisasi yang terbuka untuk persaingan, pasaran bebas dan kecekapan yang maksimum," katanya.