Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sektor perladangan getah perlukan 80,000 pekerja
Diterbitkan:  Jan 4, 2024 3:02 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Kira-kira 80,000 pekerja diperlukan dalam sektor perladangan getah bagi menampung keperluan di kira-kira 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

"Ada kira-kira 420,000 hektar ladang getah yang tak boleh ditoreh sebab tak ada pekerja, jadi ini adalah satu isu.

“Kalau ikut perkiraan, satu setengah hektar memerlukan seorang pekerja. Jadi kita perlukan antara 70,000 dan 80,000 pekerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini.

Pada 29 Dis lepas, Johari dilaporkan berkata negara telah kehilangan sebanyak RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil tidak diusahakan kerana kekurangan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun lepas, trend pengeluaran produk getah mencatatkan penurunan yang dikenal pasti berpunca daripada beberapa masalah antaranya kekurangan tenaga kerja, kos pengeluaran yang tinggi dan saiz pegangan kebun tidak ekonomik.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya tiada langkah mitigasi dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Johari turut menekankan aspek kebajikan golongan pekerja termasuk pekerja asing dengan menggesa majikan sektor perladangan agar menyediakan kemudahan penginapan yang sempurna kepada golongan itu.

“Ini akan beri kesan kepada penarafan dan pensijilan kepada produk yang kita eksport. Perkara ini perlu dititikberatkan, barulah orang akan beli produk negara kita sebab mereka tahu kita mematuhi segalanya,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS