Walaupun negara sudah 50 tahun merdeka, tetapi Setiausaha Angkatan Muda Keadilan(AMK), Ahmad Zaki Yamani Zainon berpendapat rakyat belum bebas sepenuhnya kerana masih terikat dengan sekatan oleh kerajaan melalui pelbagai akta dan undang-undang.

Beliau mendakwa, perpaduan di Malaysia yang ditekankan oleh kerajaan mirip kepada dasar pecah dan perintah seperti diamalkan oleh penjajah.

"Parti komponen Barisan Nasional (BN) hanya memperjuangkan hak kaum masing-masing dan tidak mengambil berat tentang kaum lain," katanya.

Kerajaan akan mengadakan sambutan kemerdekan ke-50 secara besar-besaran termasuk mengundang pemimpin negara asing untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Ahmad Zaki berkata, masih terdapat kekurangan dan kemiskinan di negara ini misalnya tuntutan gaji minimum RM900 sebulan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"Kemajuan yang diwar-warkan kerajan dengan memberi keutamaan kepada pembinaan bangunan tinggi dan lebuhraya, tidak bererti jika masih wujud kemiskinan.

"Kemajuan yang perlu ialah dari segi pendidikan, perumahan dan kesihatan yang baik," katanya.

Hak samarata

ementara itu, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng pula berkata, kemerdekaan bermakna semua orang bebas daripada kongkongan dan eksplotasi pihak lain dari segi fizikal, mental, ekonomi, politik.

Katanya, semua orang patut mempunyai kebebasan dan hak sama rata serta hidup dengan bermaruah.

"Walaupun telah 50 tahun merdeka tetapi masyarakat belum merdeka sepenuhnya kerana mereka tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri," katanya.

Mengenai perpaduan kaum, beliau menggesa kerajaan menghapuskan sistem politik yang berdasarkan kaum dan tidak membenarkan penubuhan parti satu kaum sahaja.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria berkata, kemerdekaan negara membolehkan rakyat Malaysia menentukan halatuju negara sendiri dan bebas daripada belenggu negara asing.

Katanya, Malaysia telah mencapai kejayaan dalam pelbagai aspek tetapi masih perlu dipertingkatkan termasuk integrasi kaum.

Katanya, semua kaum harus diberi peluang sama untuk memainkan peranan dalam sesuatu bidang, manakala generasi muda perlu diberi tempat dalam kepimpinan negara.

Beliau berkata, masyarakat perlu dididik dengan aspek kemanusiaan, termasuk modal insan, supaya mereka mencapai kemajuan dalam semua aspek.