Perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaariibuu hari ini dimaklumkan mengenai enam nota yang ditinggalkan oleh wanita Mongolia itu sebelum dia mati, satu daripadanya menceritakan pengalaman getirnya diganggu berkali-kali dan mendakwa diancam dibunuh oleh penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda.

Saksi keenam pendakwaan Burmaa Oyunchimeg, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata dia menemui nota tulisan tangan Altantuya itu semasa dia mengemas barangan milik sepupunya di Hotel Malaya antara jam 9 malam dan 10 malam pada 20 November tahun lalu.

Pendakwaan mengemukakan nota mengenai ancaman itu sebagai barang kes, demikian menurut laporan Bernama.

Pendakwaan turut menunjukkan, bagi tujuan pengenalan di mahkamah, satu sampul surat dan tiga memo tulisan tangan Altantuya, ada yang mengandungi ugutan terhadap Abdul Razak, sekeping kertas dengan tulisan Altantuya mempunyai tandatangannya "Amina" serta satu nota meminta Abdul Razak supaya menelefonnya (Altantuya).

Memberi keterangan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup, Burmaa, 26, seorang pengusaha salon kecantikan, berkata dia menemui nota yang dijadikan barang kes itu, yang ditulis dalam Bahasa Inggeris di kedua-dua halaman sekeping kertas berkepala surat Hotel Malaya, di ruang depan sebuah beg putih jenis Guess, milik Altantuya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa sepupunya menulis di dalam nota itu bahawa Abdul Razak cuba membunuhnya.

Kandungan surat

Burmaa membacakan kandungan nota itu di mahkamah:

"Kepada semua, kerajaan Malaysia atau polis, atau Kedutaan Mongolia, atau akhbar. Nama saya ialah Shaariibuu Altantuya. Saya datang ke Malaysia untuk berjumpa dengan teman lelaki saya Encik Razak Abdullah Baginda. Beliau telah berkahwin dan tinggal dengan anak perempuannya Roweena dan isteri serta ibu bapanya di Damansara Height, Jalan Setia Jaya 22. Pejabatnya terletak di Jalan Ampang. Ya, saya telah mengunjungi rumah dan pejabat beliau kerana saya perlu menemuinya. Ya, saya telah meminta wang daripada beliau tetapi saya ada sebab.

"Saya seorang yang baik, saya tidak akan mencederakan sesiapa tetapi Encik A. Razak Baginda merupakan seorang yang berpengaruh. Beliau mempunyai wang. Beliau mempunyai hubungan dengan polis, dalam kerajaan. Beliau cuba menakutkan saya, cuba membunuh saya.

"Beliau menghantar dua lelaki India orang upahannya untuk mengekori saya, seorang daripada mereka ialah Suraj (K. Suras) Kumar, dia datang ke bilik hotel saya setiap pagi sekitar pukul 5 pagi dan mengetuk pintu, cuba menakutkan saya.

"Mereka telah mengekori saya selama empat hingga lima hari. Malahan pekerja di hotel saya menginap, juga tahu. Ketika itu saya amat takut, saya berdepan dengan masalah sekarang.

"Encik Razak Baginda berjanji akan menolong saya semasa saya di Mongolia. Disebabkan inilah saya datang untuk menemui beliau dan mendapatkan bantuan. Tetapi beliau cuba membunuh saya dan lelaki India itu memberitahu saya bahawa mereka mempunyai hubungan dengan polis, jadi mereka akan memasukkan saya ke penjara.

"Ya, saya salah kerana mengganggu beliau, untuk memeras ugut beliau, tetapi jika beliau tidak membuat janji dengan saya, saya tidak akan datang dari jauh untuk ke Malaysia, satu-satunya sebab saya ke sini ialah saya mahu meminta tolong daripada Encik Razak."

"Saya mengupah P.I., penyiasat persendirian Encik Poh. Tetapi hari ini beliau memberitahu saya bahawa lelaki India itu akan membunuh dan mencampakkan saya keluar tingkap. Dan sebelum saya menulis surat ini, saya akan membunuh diri kerana saya tiada pilihan, katanya mereka mempunyai surat saya jadi mereka akan bunuh saya dan akan mengatakan yang saya membunuh diri."

Nota kedua Altantuya yang ditunjukkan di mahkamah berbunyi:

"Jika awak mengutamakan wang daripada nyawa, tak apalah. Harap awak pentingkan nyawa Roweena lebih daripada wang. Baik awak cepat Razak.

Nota ketiga Altantuya hanya tertera tarikh dan nama Abdul Razak:

Tarikh: 9/11/06

Encik Abdullah Razak Baginda

Nota keempat Altantuya berbunyi:

Saya kira, saya periksa dan pergi, awak suka begitu OK. Dan jangan cuba tipu saya, kawan-kawan awak, peguam awak tidak dapat menolong awak. Hari ini hari Isnin, jika awak hantar sekarang, semuanya akan OK. Jadi macam mana awak rasa sekarang? Panas, panas badan? Belum lagi?

Nota kelima Altantuya:

Apa khabar Encik Razak! Bapa saya hantar saya. Tolong hubungi saya pagi esok melalui nombor ini 017 3992411. Seorang (anak perempuan). Saya ada sesuatu, ia asap (as soon as possible). Bapa saya yang minta saya.

Nota keenam Altantuya berbunyi:

Razak. Jangan main-main ok. Saya nampak pagi ini dan semalam juga. Saya akan ceritakan di pejabat awak di luar atau awak telefon sekarang atau......(menurut Burmaa beliau tidak faham tulisan selepas itu). Atau saya datang ke rumah awak hari ini. Amina.

Pada sampul surat itu Altantuya menulis:

MSRC

Mr Razak Baginda

10th floor

Burmaa memberitahu mahkamah bahawa beliau kemudian menyerahkan semua nota itu kepada bapa Altantuya, Setev Shaariibuu.

Sebelum itu, Burmaa yang juga dikenali sebagai Amy berkata beliau boleh mengenali dan biasa dengan tulisan serta tandatangan Altantuya.

Manoj: Bagaimana biasanya Altantuya menulis tandatangannya?

Burmaa: Beliau selalu tulis Amina.

Di kandang tertuduh ialah Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman yang didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam melakukan pembunuhan itu. Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga boleh dihukum mati.

Burmaa turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia sering berhubungan dengan Abdul Razak ketika tertuduh ketiga itu berada di England dan Malaysia sekiranya penganalisis politik itu gagal menghubungi Altantuya yang berada di Mongolia.

Beliau berkata, Abdul Razak juga pernah menghubunginya untuk memaklumkan kepada Altantuya bahawa beliau telah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun Altantuya.