Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM mahu langkah segera diambil agar pelajar IPT kuasai BM, Inggeris

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi akan mengambil langkah-langkah sewajarnya agar pelajar di institusi pengajian tinggi di negara ini dapat menguasai bahasa Melayu dan Inggeris yang menurutnya sama penting pada zaman ini.

Katanya, apabila sesebuah negara dan penduduknya menguasai bahasa tempatan ia bukan sahaja dapat membina jati diri bangsa tapi juga secara tidak langsung akan membawa kepada penguasaan bahasa lain.

"Sekiranya kita mempunyai dasar yang kukuh di semua universiti bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah penting dan ini diterima sebagai dasar, termasuk untuk pelajar tempatan, ia akan mengukuhkan kebanggaan negara anda dan membuat anda belajar sedikit sejarah tetapi apabila anda telah menguasainya anda boleh belajar dan melakukan apa sahaja yang anda mahu.

"Jika ini diterima maka adalah logik untuk kemudian fokus pada tahun ini untuk melakukan langkah ini di mana menguasai bahasa Melayu adalah penting supaya secara tidak langsung anda akan mula menguasai bahasa Inggeris. Saya rasa hari ini mesti menjadi hari kita mulakan ini, serta-merta. Dan apabila saya katakan sekarang, maksud saya minggu depan.

"Saya mahu profesor kita mengenal pasti buku yang bagus untuk dibaca oleh pelajar mereka supaya penguasaan dan pengetahuan bahasa Inggeris mereka adalah yang terbaik," katanya dalam sesi dialog selepas memyempurnakan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Dia juga memberi contoh negara Thailand, yang penduduk tempatannya fasih berbahasa Thai tetapi kini telah beralih kepada bertutur dalam bahasa Inggeris yang sempurna kerana universiti mereka mendesak agar pelajar mereka juga menguasai bahasa Inggeris.

Perdana menteri juga meminta institusi pengajian tinggi membawa cadangan-cadangan yang bernas kepada pelajar agar boleh menguasai bahasa Melayu dan Inggeris.

"Saya mahu kementerian dan universiti membuka ruang kepada program yang lebih baik, program berbeza yang sesuai dengan keperluan semasa kita, dan jika perubahan ini tidak berlaku maka kita akan menukar kepimpinan.

"Itu termasuk perdana menteri dan menteri juga," katanya secara berseloroh.

Pada Nov tahun lepas, Anwar pernah memberitahu bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan penguasaan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Katanya, penguasaan sekurang-kurangnya dwibahasa adalah penting dan menjadi penekanan dalam kalangan negara-negara maju.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS