Kecewa dengan kerajaan negeri Selangor yang didakwa tidak mengendahkan gesaan membatalkan rancangan membina loji insinerator di Batu Arang, Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI), hari ini mengumumkan satu lagi perhimpunan bantahan akan diadakan 21 Jan ini.

Dalam sidang media hari ini, kumpulan itu turut menyelar Menteri Besar Amirudin Shari dan Exco kerajaan negeri Ng Suee Lim yang disifatkan tidak responsif terhadap tuntutan mereka untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.

Jurucakap RTI Abdul Hanan Abd Mokti berkata, perhimpunan itu merupakan perhimpunan kedua diadakan secara besar-besaran oleh kumpulan itu bagi mendesak pihak kerajaan supaya mendengar bantahan mereka.

"Kami merancang mengadakan perhimpunan bantah insinerator pada Ahad 21 Jan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di tapak pasar malam Bandar Tasik Puteri.

“Kami menjangkakan kehadiran orang ramai antara 500 sehingga 1,000 orang, terutamanya penduduk Bandar Tasik Puteri dan kawasan sekitarnya seperti Kota Puteri, Batu Arang, Coalfields, Saujana, dan M Residence, yang akan terjejas oleh projek insinerator ini," katanya pada sidang media.

Kumpulan itu juga menyatakan hasrat mereka untuk menjemput Amirudin dan Ng ke perhimpunan itu, yang menurut Hanan merupakan peluang terbaik untuk mereka berdialog.

Katanya, kerajaan negeri juga boleh menjelaskan sisi mereka sambil mendengar pendapat penduduk.

Bantah di Shah Alam

Menurutnya, RTI juga telah cuba mendapatkan janji temu dengan menteri besar sejak enam bulan lalu, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Hanan berkata kumpulan itu merancang untuk menganjurkan lebih banyak perhimpunan sehingga kerajaan negeri mendengar suara mereka.

Selain itu, mereka juga tidak menolak kemungkinan mengadakan bantahan di luar kawasan Rawang, termasuk di Shah Alam.

“Jika kita kehabisan alternatif, kita akan bawa bantahan kita ke luar kawasan Rawang.

"Nampaknya (bantahan kami) tidak didengar. Kami mungkin perlu berdiri di hadapan mereka untuk menunjukkan bahawa kami membantah rancangan ini," tambahnya lagi.

Hanan memberitahu pemberita bahawa RTI juga sedang mempertimbangkan untuk memulakan tindakan undang-undang untuk menghentikan loji 'Waste To Energy' (WTE) yang dirancang sekiranya segala saluran digunakan gagal mendapat respons sewajarnya.

Ini kerana katanya, kerajaan negeri sedang dalam proses memberikan pertukaran status tanah bagi tapak projek di Batu Arang, selepas itu YTL Power yang merupakan pemaju bersama loji itu akan mengemukakan penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mereka.

"Apabila kedua-dua perkara itu diluluskan, tiada lagi peruntukan undang-undang atau halangan undang-undang untuk menghalang mereka daripada membina insinerator, kecuali kita mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Risiko runtuh

Dalam sidang media itu, kumpulan itu mendakwa rancangan membina insinerator di Batu Arang bukan saja memudaratkan kesihatan penduduk malah keselamatan mereka.

Hanan berkata operasi loji WTE akan melibatkan suhu dan kadar getaran yang tinggi, didakwa akan memberi kesan geologi di kawasan Batu Arang, yang pernah menjadi bandar perlombongan arang batu.

Menurut maklumat yang diterima RTI, katanya, terdapat banyak terowong perlombongan yang digali di bawah kawasan Batu Arang dengan panjang keseluruhan dianggarkan kira-kira 52 kilometer.

“Kita juga tidak tahu dengan tepat lokasi terowong sepanjang 52 kilometer ini, ada yang telah diisi air untuk menstabilkan geologi.

"Tetapi ada yang masih tinggal dengan sisa arang batu dan gas metana, yang berisiko mencetuskan letupan dan runtuhan keseluruhan struktur Batu Arang, kerana perbandaran itu sangat dekat dengan tapak insinerator," katanya.

RTI juga mengulangi gesaan mereka agar kerajaan negeri memilih kaedah pengurusan sisa yang lebih mampan, termasuk pengasingan dan kitar semula sisa.

Kata kumpulan itu lagi, menggunakan insinerator akan menghasilkan asap yang berbahaya kepada kesihatan terutamanya apabila loji itu terletak berhampiran kawasan perumahan.

Antara ancaman kesihatan yang mereka sebutkan termasuk kanser, kecacatan kelahiran, kelahiran pramatang, dan isu kesuburan untuk lelaki dan wanita.

Kata Hanan, sekiranya kerajaan negeri masih bercadang untuk membina insinerator, mereka percaya pihak berkuasa boleh menggunakan tanah sedia ada di Bukit Tagar yang terletak jauh dari kawasan penduduk.

“Insinerator yang mereka rancang untuk bina di Batu Arang ini akan mempunyai kapasiti memproses 3,500 tan sisa sehari termasuk 100 tan sisa terjadual.

“Ia akan menerima sisa perbandaran daripada enam majlis perbandaran di negeri ini.

"Jika ini berlaku, maka kawasan ini akan menjadi hab sisa bagi Selangor," tegasnya.