Perdana Menteri Anwar Ibrahim enggan melayan dakwaan Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Noor bahawa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 akuan berkanun (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Tak apa. Tak perlu komen. (Biar)..Saya kerja," kata kepada pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan Sanusi yang mendakwa PN sudah mengumpulkan SD yang mencukupi dan pembangkang hanya menunggu hari untuk mengumumkannya.

Anwar juga berkata dia hanya akan menjawab isu-isu yang besar sahaja.

"Kalau kes isu besar, saya jawab," katanya ketika ditemui dalam program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024, di Sepang, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu sesetengah pemimpin PN mendakwa mereka sudah bersedia mengambil alih kerajaan kerana mendapat jumlah yang mencukupi bagi membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

Antaranya ialah Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa kerajaan perpaduan hanya menanti masa untuk tumbang.

Hal itu kerana, dakwa Sanusi, PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi. Dia bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.