Harga minyak mentah yang lebih tinggi telah melonjakkan keuntungan sebelum cukai Petronas ke paras rekod tertinggi RM76.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007 naik 9.9 peratus daripada RM69.4 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama 2006, kata Presidennya Tan Sri Hassan Marican hari ini.

Katanya perolehan perbadanan minyak nasional itu meningkat 10 peratus kepada RM184.1 bilion daripada RM167.4 bilion sebelum ini, yang dipacu oleh harga minyak yang tinggi dan peningkatan volum jualan dalam hampir kesemua perniagaan.

Tahun yang dikaji menyaksikan harga minyak mentah kekal tinggi apabila permintaan global, khususnya dari sektor pengangkutan, terus meningkat berikutan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, terutama di China dan India, demikian menurut laporan Bernama.

Katanya perolehan yang tertinggi pernah dicatatkan oleh Petronas dalam tahun kewangan 2007 itu didorong oleh volum jualan tertinggi pada purata harga yang dizahirkan.

Bercakap di sidang akhbar di Kuala Lumpur untuk mengumumkan prestasi kewangan kumpulan itu, beliau berkata, keuntungan bersih melonjak kepada RM46.4 bilion daripada RM43.1 bilion, manakala aset keseluruhan meningkat kepada RM294.6 bilion daripada RM273.0 bilion.

Dana pemegang saham berkembang 16.3 peratus kepada RM170.9 bilion daripada RM147.0 bilion, kata Hassan.

"Permintaan lebih kukuh di tengah-tengah ancaman yang kian meningkat mengenai gangguan bekalan serta kekurangan keupayaan penapisan di seluruh dunia dan pengurangan pengeluaran minyak mentah Opec (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak) telah menolak harga minyak lebih tinggi dalam tahun yang dikaji," katanya.

Keputusan kewangan

Pengukuhan ringgit, katanya memberikan impak negatif terhadap keputusan kewangannya kerana Petronas melakukan perniagaan dalam dolar AS. Impak kadar pertukaran itu kepada perolehan berjumlah RM7.2 bilion.

Selain itu, harga dan permintaan minyak yang tinggi, peningkatan aktiviti industri telah juga menaikkan kos, yang biasanya tidak sekata dengan peningkatan harga minyak mentah, kata Hassan.

Katanya kos modal huluan yang meningkat 21 peratus dalam tahun ini, yang merupakan kadar lebih sekali ganda daripada peningkatan harga minyak mentah dalam tempoh yang sama.

Isu seperti peningkatan kos dan kekurangan keupayaan kejuruteraan dan pembinaan, yang ditambah dengan kekurangan kakitangan mahir mendorong kelewatan projek dan memberi kesan buruk terhadap keselamatan, keefisienan dan kualiti operasi, kata Hassan.

Katanya peningkatan kos berterusan telah memberi kesan negatif kepada kekuhan ekonomi berdaya maju yang sedang dilaksanakan dan projek yang telah dirancang, yang menghasilkan banyak projek ditangguhkan.

Perolehan aktiviti pembuatan Petronas, yang terdiri daripada pembuatan produk petroleum, gas asli cecair dan petrokimia, meningkat kepada RM102.9 bilion daripada RM97.6 bilion dalam tahun kewangan yang dikaji.

Perolehan aktiviti pembuatan domestik Petronas mencatatkan 28.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Operasi antarabangsa

Perolehan bukan pembuatan melonjak kepada RM184.1 bilion daripada RM167.4 bilion, kata Hassan.

"Tanpa aktiviti pembuatan, perolehan kumpulan akan terkurang sepertiga setahun," katanya.

Perolehan operasi antarabangsa berkembang 19.4 peratus kepada RM96.6 bilion daripada RM67.6 bilion. Ini menunjukkan kehadiran antarabangsa yang kian berkembang kumpulan itu, katanya.

"Wujud peningkatan perolehan dari operasi antarabangsa yang menunjukkan kejayaan kumpulan itu di peringkat antarabangsa," katanya.

Mengenai prestasi Petronas, Hassan berkata kumpulan masih fokus ke atas aktiviti tambah nilai untuk memaksimumkan nilai sumber minyak dan gasnya.

Kumpulan itu, kata Hassan terus menerima manfaat daripada strategi globalisasinya sebagai perolehan perniagaan antarabangsa, yang merupakan perolehan dari operasi antarabangsa dan eksport dari Malaysia, berkembang RM10.9 bilion kepada RM141.0 bilion, yang mencatatkan 76.6 peratus.

Perolehan operasi antarabangsa meningkat 19.4 peratus kepada RM67.6 bilion daripada RM56.6 bilion, yang menunjukkan kehadiran antarabangsa kumpulan itu yang kian meningkat, katanya.

"Wujud peningkatan perolehan dari operasi antarabangsa, yang menunjukkan kejayaan kumpulan itu diperingkat antarbangsa," katanya.

Sektor penerokaan

Hassan berkata perbelanjaan modal (capex) keseluruhan kumpulan itu dalam tahun kewangan 2007 berkembang kepada RM21.6 bilion daripada RM18.7 bilion, di mana sektor penerokaan dan pengeluaran mencatatkan capex terbesar.

Sebahagian besar daripada capex adalah bagi projek domestik, katanya.

Pinjaman keseluruhan merosot kepada RM35.9 bilion daripada RM43.9 bilion dalam tempoh sebelum itu berikutan pembayaran semula berjadual nota dan pinjaman bertempoh yang dilakukan dalam tahun ini, telah mengurangkan keseluruhan hutang berbanding dengan nisbah aset keseluruhan kepada 0.12 kali.

Selain itu, Hassan berkata purata pengeluaran keseluruhan Malaysia di segi bilangan tong bersamaan minyak (boe) sehari bagi tahun kewangan 2007 merosot 2.7 peratus kepada 1,611.4 bilion boe daripada 1,656.1 bilion boe.

Rezab minyak Malaysia dalam tempoh itu meningkat 1.4 peratus kepada 20.18 bilion boe sehingga 1 Januari 2007, berbanding dengan 19.91 bilion boe sehingga 1 Januari 2006.

Rezab minyak antarabangsa berjumlah 6.31 bilion boe berbanding dengan 5.94 bilion boe sebelum ini.

Di segi penemuan minyak mentah baru dalam tahun kewangan 2007, Hassan berkata 30 peratus daripadanya ditemui di kawasan perairan air dalam.

Sumbangan RM48.3b pada k'jaan

Sementara itu, Hassan berkata, sumbangan perbadanan minyak nasional, Petronas, kepada kerajaan dalam tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac, 2007, meningkat kepada RM48.3 bilion daripada RM41.7 bilion sebelum ini.

Pembayaran di segi duti merupakan sumbangan tertinggi, yang berjumlah RM21.8 bilion, diikuti dividen sebanyak RM16 bilion, royalti sebanyak RM8.5 bilion dan duti eksport sebanyak RM2 bilion manakala bakinya terdiri daripada dividen royalti dan duti eksport.

Dividen itu tidak termasuk dividen interim kedua sebanyak RM6 bilion dan dividen akhir sebanyak RM10 bilion bagi tahun kewangan 2007 dan yang akan dibayar dalam tahun kewangan 2008, kata Hassan.

"Sehingga ini, kami telah memulangkan RM336 bilion kepada kerajaan," katanya.

Petronas kekal sebagai penyumbang terbesar tunggal kepada perolehan kerajaan, yang meningkat 35.4 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2007, berbanding dengan 34.4 peratus dalam tahun sebelum ini.