Malaysia dijangka akan melatih kira-kira 4,000 orang dari selatan Thai bagi membantu menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan.

Malaysia juga berminat untuk mengambil rakyat Thai bekerja di seberang negara ini, kata jurucakap kerajaan Thai, Yongyuth Mayalarp.

Katanya, ini ekoran persetujuan yang dicapai oleh Malaysia and Thailand untuk melaksanakan program 3E (pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan) bagi membantu menyelesaikan konflik di selatan Thai.

Menurut Bernama, Mayalarp berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyarat antara Perdana Menteri Surayud Chulanont dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar di Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.

Syed Hamid berada di sana untuk menghadiri Mesyuarat ke-10 Suruhanjaya Bersama Thailand-Malaysia (JCM) hari ini.

Mengenai keusahawanan, Yongyuth berkata Malaysia akan menyokong pembiayaan mikro menerusi kemudahan perbankan Islamnya.

Majoriti Islam

Dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua pihak membincangkan langkah menamatkan konflik di selatan yang telah meragut lebih 2,300 nyawa sejak tiga tahun lalu.

Puak pemisah berjuang untuk kemerdekaan bagi wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang mempunyai penduduk majoriti Islam.

Thailand, yang berusaha menghapus kebangkitan di Yala, Pattani dan Narathiwat, meminta bantuan Malaysia untuk menyokong menamatkan konflik berkenaan menerusi pelaksanaan projek pembangunan dengan melibatkan pelbagai kumpulan yang terbabit dalam konflik itu.

Yongyuth juga berkata Surayud akan mengadakan tiga lawatan ke Malaysia dalam Ogos, bermula dengan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dari 6 hingga 8 Ogos; sidang kemuncak dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari 21 hingga 23 Ogos di Pulau Pinang; dan Perayaan ulang tahun Kemerdekaan ke-50 Malaysia pada 31 Ogos.

Syed Hamid turut mengadakan rundingan bilaterial dengan rakan sejawatannya Nitya Pibulsonggram.