Kasihanilah Johari, kata Nazri
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menyelesaikan siasatan kes rasuah membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom yang didakwa menerima RM5 juta bagi membebaskan beberapa penjenayah yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menyelesaikan siasatan kes rasuah membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom yang didakwa menerima RM5 juta bagi membebaskan beberapa penjenayah yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata, kertas siasatan kes berkenaan sudah diserahkan kepada Peguam Negara untuk diambil tindakan selanjutnya, demikian menurut laporan Bernama.
"Badan Pencegah Rasuah sudah selesai menyiasat kes ini dan kertas siasatan mengenainya telahpun diserahkan kepada Peguam Negara kira-kira tiga minggu lalu iaitu sebelum saya berlepas ke luar negara.
"Apa hasil siasatan itu saya tidak tahu kerana Peguam Negara merupakan sebuah badan bebas. Sebarang laporan atau keputusan dibuat oleh mereka tidak perlu dimaklumkan kepada saya meskipun badan kehakiman itu diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
Mohd Nazri mengulas mengenai perkembangan kes rasuah membabitkan Johari selepas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu pada 10 Jun lalu mendesak BPR mengumumkan segera hasil siasatan kes tersebut bagi membolehkan namanya dibersihkan.
Johari (foto) sebelum ini didakwa menerima rasuah RM5 juta bagi membebaskan
beberapa penjenayah yang ditahan di bawah Ordinan Darurat. Bagaimanapun, beliau menafikan menerima sogokan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri meminta media supaya tidak melaporkan kes-kes rasuah yang belum dibicarakan di mahkamah bagi mengelak masyarakat membuat tanggapan negatif dan menghukum tertuduh terlalu awal sedangkan kesalahan belum dibuktikan.
'Kasihanilah Johari'
Katanya media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan berita yang tepat dan perlu mengelak memetik bahan berita daripada laman blog kerana kesahihan berita tersebut belum dapat dipastikan.
Tegasnya, tindakan akhbar aliran utama memetik blog sebagai bahan berita adalah sangat tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh, katanya, dakwaan Johari terlibat dengan rasuah disiarkan dalam laman blog tetapi telah dipetik secara meluas oleh media aliran utama di negara ini sehinggakan ia memberi tekanan kepada BPR untuk menjalankan siasatan.
"Persoalannya sudahkah anda menemui wang RM5 juta yang dikatakan diambil oleh Johari? Di mana RM5 juta itu...adakah ia dalam akaun Johari.
"Duit belum ditemui tetapi beliau (Johari) sudah dianggap bersalah kerana mengambil rasuah sebab orang membaca surat khabar yang menggambarkan beliau sudah bersalah.
"Jadi kasihanilah beliau. Saya harap media Malaysia dapat mencontohi media di Hong Kong dan Singapura yang bekerjasama dengan pihak berkuasa apabila hanya akan melaporkan kes rasuah yang dibawa ke mahkamah sahaja,"katanya.

