Walaupun dikecam kerana mempersoalkan kesetiaan masyarakat India di Malaysia, Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan selamat menyambut perayaan Ponggal kepada seluruh penganut agama Hindu di negara ini menerusi akuan X miliknya.

Namun, beberapa jam selepas ucapan itu dibuat, bekas perdana menteri itu sekali lagi menyentuh mengenai kaum India.

Kali ini kenyataannya dituju khas kepada bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang II P Ramasamy dengan menyorot kekesalan bekas pemimpin DAP itu dengan ketiadaan orang India dilantik jadi menteri dalam kabinet kerajaan, baru-baru ini.

Mahathir juga turut mendakwa Ramasamy sebagai bersifat perkauman apabila dia meninggalkan DAP dan menubuhkan parti orang India.

"(Seorang) menteri bukan berketurunan India juga menteri Malaysia. Sebagai orang Malaysia tidak ada sebab kenapa tidak adanya menteri keturunan India bukan masalah.

"Jika kerana tidak adanya menteri keturunan India dalam kabinet ternampak tidak adil, sebabnya tentulah kerana Ramasamy masih setia kepada kaum keturunan India.

"Ini bermakna Ramasamy rasis yang berjuang bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga untuk bangsa keturunan India,” katanya.

Tidak jelas mengapa dia menyasarkan Ramasamy.

Baru-baru ini, Ramasamy menubuhkan parti baru untuk masyarakat India iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Mahathir sebelum ini berkata bahawa orang India di Malaysia tidak sepenuhnya setia kepada negara kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Dia berkata seseorang itu harus bercakap dalam bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk menganggap negara itu sebagai negara sendiri.

Mengulas kenyataan itu, Ramasamy berkata kenyataan cauvinis seperti itu hanya boleh datang daripada Mahathir sahaja.

"Pandangan cauvinis seperti itu hanya boleh datang daripada Mahathir, orang yang bertanggungjawab dalam politik yang memecahbelahkan negara sekarang," kata Ramasamy dalam satu kenyataan semalam.