Seorang ibu mualaf Orang Asli gagal dalam rayuannya untuk membatalkan perintah habeas corpus supaya menyerahkan anak perempuan mereka kepada bapa kandungnya yang bukan beragama Islam.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan ibu itu terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuantan yang membenarkan permohonan bekas suaminya yang membabitkan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun.

Dengan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Harmindar Singh Dhaliwal hari ini, bermakna anak perempuan itu akan kekal bersama bapa sementara menunggu pertikaian hak penjagaan pasangan itu diputuskan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Pada Mei tahun lalu, satu video tular dalam media sosial yang memaparkan kanak-kanak itu semasa berumur 9 tahun menangis bersama ibunya yang berpurdah sambil diperhatikan oleh pegawai polis wanita selepas satu prosiding mahkamah.

Kejadian itu direkodkan sejurus selepas Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan habeas corpus bapa gadis tersebut.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan, hari ini, juga sebulat suara berpuas hati bahawa keterangan menunjukkan kanak-kanak perempuan itu pada hakikatnya dipelihara oleh bapa selama empat tahun sebelum diambil oleh ibunya.

Harmindar Singh yang bersidang bersama-sama Abu Bakar Jais dan Abdul Karim Abdul Jalil turut berpendapat adalah tidak betul untuk mengambil kanak-kanak tersebut tanpa mendapat perintah hak penjagaan daripada mahkamah.

Sehubungan itu, panel berkenaan berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika membenarkan permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh lelaki berusia 44 tahun itu.

Pada prosiding hari ini, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Zainul Rijal Abu Bakar mewakili wanita tersebut (perayu) manakala Bastian Vendargon dan Gene Anand Vendargon berhujah bagi pihak responden.

Ketika menyampaikan keputusan hari ini, mahkamah persekutuan turut menyatakan pemerhatiannya bahawa keputusan tersebut tidak memberi kesan kepada prosiding hak penjagaan yang masih didengar di Mahkamah Tinggi.

Panel berkenaan juga berpendirian bahawa nama kanak-kanak tersebut dan kedua-dua ibu bapanya serta gambar mereka tidak didedahkan oleh mana-mana pihak.

[Baca berita penuh]