Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) Jennifer Homendy berkata palam pintu Boeing BA 737 MAX 9 yang tercabut semasa penerbangan Alaska Airlines yang mencemaskan pada awal bulan ini telah dikilangkan di Malaysia.

Dia dipetik Wall Street Journal berkata Spirit AeroSystems menghasilkan palam pintu itu di Malaysia. Ia kemudian diangkut ke kilang pembekal Boeing di Wichita, Kansas dan akhirnya dibawa kereta api ke kilang pembuat pesawat 737 di Renton di Washington.

Bagaimanapun, dia menjelaskan masalah itu boleh berlaku di mana-mana peringkat sahaja, bukan hanya dalam pembuatan dan penyiasatan lembaga keselamatan akan menyelidiki pengeluaran, pengangkutan, pemasangan dan kemasukan palam pintu ke dalam perkhidmatan serta pemeriksaan kualiti di sepanjang proses itu.

“Kami tidak mempunyai petunjuk sekarang di mana dalam proses ini berlaku. Ini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kami bukan hanya menentukan (pada) pembuatan," katanya selepas taklimat tertutup bersama ahli Jawatankuasa Perdagangan Senat AS.

Beberapa senator yang menghadiri taklimat itu berkata pesawat berkenaan mungkin tidak dibenarkan melakukan penerbangan sementara siasatan diteruskan.

Palam pintu pada pesawat Boeing 737 Max 9 digunakan untuk menutup pintu keluar kecemasan yang tidak digunakan. Ia bertujuan untuk dibuka hanya semasa penyelenggaraan.

Pada 5 Jan, palam pintu untuk sebuah pesawat seumpamanya yang berkhidmat dengan Penerbangan 1282 Alaska Airlines tercabut ketika ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland, membuka kabin dan mendedahkan penumpang kepada tekanan udara pada ketinggian beribu-ribu kaki, menurut kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara.

Tiada siapa yang cedera parah dan pesawat itu melakukan pendaratan cemas dengan selamat.

Palam pintu kecemasan itu ditemui di belakang rumah seorang guru sekolah di Portland, Oregon.

Palam pintu itu dilihat mempunyai maklumat inventori tulisan tangan, serta nota "Buatan Malaysia" di sebelah nombor siri bahagian tersebut.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menghentikan kira-kira 170 MAX 9 jet selepas kejadian pintu tercabut pesawat Alaska Airlines dan pendaratan kecemasan itu, sambil menambah bahawa pesawat berkenaan akan dilarang daripada menerbangkan penumpang sehingga ia menilai data daripada pemeriksaan palam pintu pesawat.

Alaska Airlines dan United Airlines berkata mereka menemui MAX 9 lain dengan perkakasan longgar mengelilingi palam pintu kapal terbang tersebut.

Homendy pada Rabu berkata beberapa bolt pada palam pintu sepatutnya longgar dan tidak dimaksudkan untuk dikilaskan. Sebaliknya, katanya, ia diikat dengan pin.

Analisis metalurgi NTSB akan mencari tanda-tanda keretakan kehausan, kakisan dan faktor-faktor lain yang berpotensi membawa kepada kejadian pesawat Alaska Airlines itu, tambahnya.

FAA pada Rabu juga berkata penyiasatannya ke atas proses pembuatan Boeing termasuk yang melibatkan Spirit, bekas unit syarikat gergasi aeroangkasa itu yang dijual pada 2005. Spirit AeroSystems mempunyai kemudahan pembuatan di Subang.

Ketua FAA Mike Whitaker memberitahu The Wall Street Journal pada minggu lalu "semua petunjuk mengarah kepada pembuatan" yang membawa kepada kemalangan di Alaska dan bukan kecacatan reka bentuk palam pintu berkenaan.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke pada minggu lalu berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

“Mengenai hal itu kami tidak mendapat maklumat dan saya tidak boleh komen. Ia bukan di bawah bidang kuasa saya (untuk siasat) dan saya hanya boleh memberi ulasan umum. Kita tidak tahu sama ada ia benar atau nyata. Kami dapati ia laporan yang dibuat oleh pemerhati.

"Sekiranya ada laporan rasmi daripada syarikat penerbangan itu, kami akan meminta untuk menelitinya dan meminta CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) untuk mengendalikannya," katanya.

Sementara itu, ABC News melaporkan empat penumpang menyaman Alaska Airlines dan Boeing atas dakwaan kecederaan termasuk "ketakutan yang teruk, kesusahan, kebimbangan, trauma dan kesakitan fizikal," menurut aduan itu.

"Plaintif bimbang lubang ternganga di badan pesawat, penurunan tekanan yang cepat dan keadaan kucar-kacir menjadi permulaan kepada kemusnahan pesawat dan kemungkinan kematian mereka sendiri," kata aduan itu lagi.

[Baca berita asal]