Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelarasan tarif air tak akan bebankan pengguna - MB Kelantan

Pelarasan tarif air bermula 1 Feb depan tidak akan membebankan pengguna, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata ini kerana kajian telah dilakukan sebelum pelarasan dilaksanakan.

"Kajian telah dibuat dan kenaikan itu tidak membebankan pengguna. Di Kelantan sendiri tarif air sudah lama tiada kenaikan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Banglo kepada Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2023, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi di Perumahan Wadi Iman Eksklusif, di Tanah Merah, di Kelantan hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri turut memberi jaminan perkhidmatan bekalan air yang lebih berkualiti kepada pengguna berikutan pelarasan tarif air itu.

Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pelarasan tarif air itu tidak lagi boleh ditangguhkan, supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang, sekali gus memberikan impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan yang dinikmati rakyat.

Pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS