Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh akan mencadangkan latihan peka sensitiviti jantina kepada pegawai polis di Balai Polis Mont Kiara, Segambut yang didakwa mengeluarkan kenyataan dianggap tak sensitif terhadap seorang mangsa hendap.

"Balai polis ini terletak di Segambut. Saya akan bercakap dengan OCPD (ketua polis daerah) dan OCS (ketua polis balai) untuk balai polis Mont Kiara untuk memastikan latihan peka sensitiviti jantina diberikan kepada pegawai di sana.

"Kenyataan seperti itu akan menghalang siasatan dan tindakan daripada diambil," kata menteri belia dan sukan dalam kenyataan di laman X.

Dia berkata demikian mengulas pengalaman pelakon, Alvy Joanna yang menyatakan rasa kesal dengan kenyataan seorang pegawai polis.

Terdahulu, Alvy sebelum ini mendakwa seorang pegawai polis bersikap tidak acuh apabila dia membuat laporan tentang dakwaan pengalaman dihendap, dengan berkata “"mungkin dia sukakan awak kot", merujuk kepada penghendap itu.

Alvy hadir di balai polis berkenaan untuk membuat laporan terhadap seorang lelaki yang menghendapnya ketika dia membeli-belah pakaian untuk Tahun Baru Cina, di sebuah gedung di Mont Kiara pada 15 Jan.

Walaupun dua lagi anggota polis tidak menegur anggota ketiga yang membuat komen itu namun Alvy menjelaskan dia bersyukur dengan kehadiran mereka yang memandang serius aduannya.