Najib tidak akan beri kenyataan berhubung kes Altantuya
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan saksi mengenai gambar beliau (Najib) yang dikaitkan dengan perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan saksi mengenai gambar beliau (Najib) yang dikaitkan dengan perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad berkata, ini kerana ia boleh dianggap sebagai mencampuri urusan mahkamah atau subjudis.
Bagaimanapun, katanya, Najib tetap berpegang kepada kenyataannya yang dibuat beberapa kali sebelum ini bahawa beliau tidak pernah berjumpa atau mengenali mangsa dan tidak terbabit dalam kes itu.
"Saya ingin menjelaskan, Timbalan Perdana Menteri telah beberapa kali semasa ditemubual oleh media sebelum ini dan semasa pilihanraya di Ijok, mengatakan dia tidak pernah berjumpa, mengenali mangsa dan tidak terbabit dalam kes ini. Oleh itu, isu gambar tersebut tidak berbangkit.
"Penjelasan ringkas ini dibuat kerana laporan perbicaraan semalam mengundang pelbagai pandangan dan kenyataan pihak tertentu yang boleh menjejaskan pandangan umum kepada Timbalan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam.
Jumaat lalu, saksi keenam pendakwa, Burmaa Oyunchimeg, 26, memberitahu mahkamah, dia pernah melihat sekeping gambar menunjukkan Altantuya makan semeja bersama Abdul Razak Baginda dan pegawai kerajaan Malaysia dikenali dengan nama "Najib Razak" serta beberapa yang lain.
Abdul Razak menghadapi tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.
Persamaan nama
Burmaa, yang juga dikenali sebagai Amy, berkata Altantuya yang juga sepupunya, menunjukkan gambar itu kepadanya ketika mereka berada di Hong Kong, selepas sepupunya itu pulang dari Perancis.
Menjawab soalan tambahan peguam pemerhati, Karpal Singh bagi pihak keluarga Altantuya, Burmaa berkata Altantuya memberitahu nama pegawai kerajaan Malaysia itu ialah Najib Razak dan dia mengingati nama itu kerana mempunyai persamaan dengan nama Abdul Razak.
Bagaimanapun, gambar yang dikatakan itu tidak ditunjukkan di mahkamah.
Semasa berkempen pada pilihanraya kecil Ijok April lalu, Najib berulang kali menafikan pembabitannya dalam kes wanita Mongolia itu.
Beliau juga menuduh parti pembangkang membua tuduhan melulu termasuk mengaitkan dirinya dengan kes Altantuya.
Najib berkata semua pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih mengetahui keadaan sebenar.
Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas, menghadapi dakwaan membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan kedua-dua anggota polis itu di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi, 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam 19 Oktober tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh menghadapi hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kenyataan penuh
Berikut adalah kenyataan penuh Tengku Sarifuddin kepada Bernama:
1. Saya ingin merujuk kepada laporan media hari ini berkaitan kenyataan saksi tentang gambar (tidak ada gambar ditunjuk dalam mahkamah) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikaitkan dengan perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya.
2. Memandangkan perbicaraan sedang berjalan dan sebarang kenyataan mengenainya boleh dianggap mencampuri urusan mahkamah (subjudis), maka adalah tidak wajar untuk Timbalan Perdana Menteri mengulas mengenai perkara tersebut.
3. Namun, saya ingin menjelaskan Timbalan Perdana Menteri telah beberapa kali semasa ditemubual oleh media sebelum ini dan semasa Pilihanraya di Ijok mengatakan bahawa dia tidak pernah berjumpa, mengenali mangsa dan tidak terbabit dalam kes ini. Oleh itu, isu gambar tersebut tidak berbangkit.
4. Penjelasan ringkas ini dibuat kerana laporan perbicaraan semalam mengundang pelbagai pandangan dan kenyataan pihak tertentu yang boleh menjejaskan pandangan umum kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.
Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad, Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri (30 Jun 2007).

