Kerajaan membuat penilaian untuk memperbaiki setiap ruang yang ada termasuk membabitkan soal pendidikan, digital dan teknologi dalam perkhidmatan bagi mengangkat martabat serta keupayaan negara supaya menjadi lebih hebat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penilaian itu dilakukan semasa program pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Cyberjaya berdasarkan input sektor swasta, penyelidik, ilmuwan dan pakar antarabangsa selain pandangan serta cadangan anggota kabibet.

“Ramai penyelidik atau pakar memberi sumbangan yang sangat bermutu dan melalui pemukiman ini, saya dan rakan-rakan timbalan perdana menteri serta Ketua Setiausaha Negara (Mohd Zuki Ali) memberi senario secara terbuka, sangat mendengar pandangan, teguran, kritikan dan cadangan baru.

“Bukan untuk pertahankan program atau polisi sedia ada tetapi sedia untuk membuat penilaian bahawa ada ruang untuk diperbaiki ke arah pelaksanaan program dan dasar yang lebih berkesan,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media hari ini sempena pemukiman bersama 31 barisan anggota kabinet yang berlangsung selama dua hari di Cyberview Resort & Spa.

Perdana menteri berkata turut diberi penekanan semasa program itu ialah peralihan tenaga, transformasi digital, pelan perindustrian serta reformasi perkhidmatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan negara.

“Perbincangan itu menyeluruh tentunya menekan perpaduan rakyat dan negara serta kestabilan politik yang menjadi prasyarat bagi kita melaksanakan program-program.

“Kemudian kita bicara soal ekonomi untuk menambah pelaburan domestik dan luar negara, dan juga memfokus kepada beberapa isu khusus meningkatkan isu pendidikan negara termasuk TVET dan pendidikan teknologi, soal digital, AI (kecerdasan pintar) dan beberapa isu yang telah kita cerakinkan dalam beberapa dasar sebelumnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata hasil perbincangan daripada program itu akan dimanfaatkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memacu ekonomi Malaysia dalam usaha memaknai falsafah negara Madani.

Dia turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli kabinet yang menjayakan program yang disifatkan berprestasi tinggi serta membanggakan.

Mengenai dakwaan program itu diadakan bagi ‘mengurung’ ahli parlimen, Anwar berkata perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu.

“Ini pemukiman, setengah (daripada mereka adalah) menteri dan ada senator. Untuk menjimatkan kos, semua menteri diarah pulang, tidur di rumah masing-masing dan datang ke sini pagi-pagi. Jadi tidak ada isu,” katanya.

Semalam, sebuah portal melaporkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Mohamad Shafiq Abdul Halim membuat rakaman video berdurasi kira-kira sembilan saat yang mendakwa semua ahli parlimen kerajaan ‘dikurung’ di suatu lokasi di Cyberjaya.

- Bernama