Bakal berdepan 51 pertuduhan kes penipuan pakej, dua pengarah syarikat pengendali umrah gagal menghadirkan diri di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Majistret Ahmad Shafiq Aizat Nazri kemudian menetapkan tarikh baru - 13 Feb depan - untuk pertuduhan kes berkenaan.

Mahkamah dimaklumkan pengarah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz Travel) yang juga pasangan suami isteri, Zulkarnain Endut, 43, dan Mazuin Mustafa, 43, gagal hadir seperti diarahkan kerana sedang cuti sakit.

Syarikat itu dan kedua-dua pengarahnya sepatutnya berdepan pertuduhan berhubung penipuan pakej umrah membabitkan nilai kerugian RM503,221.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberitahu media, mereka hanya dimaklumkan berhubung cuti sakit pasangan terbabit pada hari ini.

Menurut Mohd Sophian Zakaria disebabkan kes berkenaan melibatkan kepentingan awam serta ada ramai yang menjadi mangsa, KPDN memohon kepada mahkamah agar tarikh yang segera ditetapkan.

“Untuk makluman, kedua-dua OKS (orang kena saman) sepatutnya berdepan 51 pertuduhan hari ini membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

"Malah baru-baru ini juga mereka sudah didakwa atas 63 pertuduhan bagi kesalahan yang sama di Putrajaya,” katanya ketika ditemui media.

Selain Mohd Sophian, turut bertindak sebagai timbalan pendakwa raya ialah Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Fenruari sebagai tarikh baru dan kesemua pertuduhan akan dijalankan secara serentak.

Sebelum ini media melaporkan, sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya atas 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) agar membayar balik tuntutan wang berjumlah RM589,031 kepada 21 mangsa.

Pasangan terbabit kemudian mengaku tidak bersalah di hadapan majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.