Dua rakyat Malaysia ditahan di Guantanamo mungkin pulang
Dua rakyat Malaysia yang mengaku bersubahat dengan sekutu Al Qaeda dalam insiden pengeboman di Bali pada 2002 berkemungkinan akan pulang ke Malaysia sebelum akhir tahun ini.
Ia susulan menerusi perjanjian pengakuan yang dipersetujui mereka pada minggu lalu.
Menurut laporan oleh wartawan The New York Times di Teluk Guantanamo, Cuba, semalam, seorang juri pegawai tentera di Teluk Guantanamo akan dipertanggungjawabkan untuk menjatuhkan hukuman dari tempoh 20 hingga 25 tahun.
Bagaimanapun, perjanjian yang dicapai minggu lalu itu dilihat akan membantu mereka berdua yang kini berdepan hukuman yang panjang dalam penjara rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk kembali ke Malaysia, susulan penahanan mereka pada 2003.
Laporan itu bagaimanapun menyatakan, sebahagian daripada perjanjian pengakuan yang membayangkan mereka boleh kembali ke Malaysia kekal sebagai rahsia.
Ia turut menyatakan, prosiding hukuman terhadap Mohammed Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Lep, 47, adalah sebahagian daripada strategi kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk cuba menyelesaikan kes keselamatan Guantanamo menerusi rundingan pengakuan.
Minggu lalu, kedua-dua lelaki itu yang kini ditahan di Guantanamo mengaku bersalah bersubahat dalam insiden pengeboman di pulau peranginan Bali yang mengorbankan 202 nyawa pada 12 Oktober 2002.
Mereka didakwa bersama warga Indonesia, Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali.
Bagaimanapun, Oktober lalu, The New York Times melaporkan, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan berkonspirasi dalam serangan pengganas di Bali, sekali gus memisahkan mereka berdua daripada kes Hambali.
Dalam rayuan itu juga, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju memberi keterangan terhadap Hambali, bekas ketua gerakan Jemaah Islamiyah.
The New York Times juga melaporkan, sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan itu, kedua-duanya disoal oleh pendakwa raya pada semalam dan kelmarin dan ia berpotensi untuk digunakan dalam perbicaraan Hambali, yang pendakwa raya mahu ia diadakan tahun depan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/01/3b947987a9ddfc6e5904a917df54e460.jpg)
