Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jenayah indeks di Cheras menurun lebih 10 peratus tahun lalu

Kadar jenayah indeks di Cheras pada 2023 menurun sebanyak 10.72 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 849 kes, kata Ketua Polis Daerah ACP Zam Halim Jamaluddin.

Katanya jenayah kekerasan dan harta-benda turut mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 17 kes atau 11.11 peratus dan 74 kes (10.63 peratus) pada 2023.

Berucap pada majlis perhimpunan bulanan Polis Daerah Cheras di di Taman Maluri di Kuala Lumpur hari ini Zam Halim memberitahu jenayah indeks merupakan kes yang kerap dilaporkan seperti bunuh, rogol, cabul kehormatan, pemerasan, samun, curi, merusuh dan mendatangkan kecederaan.

"Cabaran masa kini memerlukan pasukan polis sentiasa siap siaga agar dapat menangani pelbagai jenis perlakuan jenayah.

"Untuk tujuan tersebut, pada tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras akan memberikan tumpuan dan memperbanyakkan operasi pencegahan jenayah," katanya.

Pada majlis sama, Zam Halim turut menyeru anggota dan pegawai polis sentiasa peka dengan perkembangan semasa serta perubahan teknologi.

Menurutnya, perubahan itu membawa gelombang digital kepada gaya hidup masyarakat dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet benda (Internet of things), analisis data raya (big data analytics) serta blok rantai (blockchain).

"Perubahan teknologi ini membawa kepada perubahan dalam landskap sosial, budaya dan ekonomi sekali gus memberi perkembangan positif dan bermanfaat kepada masyarakat.

“Ia juga seiring dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam untuk tempoh lima tahun yang akan menjadi panduan kepada agensi sektor awam bagi memacu agenda kerajaan ke arah membentuk masyarakat digital,” katanya.

Pada majlis tersebut, Zam Halim turut menyentuh peranan media yang disamakan seperti tugas seorang rasul iaitu menyampaikan berita kepada masyarakat.

"Antara tugas seorang rasul adalah menyampaikan. Ini termasuk pembawa berita baik yang boleh menjadi teladan dalam kehidupan serta peringatan berkait konsekuensi (akibat) perbuatan manusia," ujarnya.

Wartawan Malaysiakini, Shamz Johan, menerima sijil penghargaan daripada Zam Halim

Terdahulu, kira-kira 21 wakil agensi media menerima sijil penghargaan sebagai tanda sokongan dan kerjasama erat bersama pihak polis, khususnya bagi IPD Cheras.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS