Satu laporan polis telah dibuat terhadap saksi utama pihak pendakwa, Lans Kpl Rohaniza Roslan, 29, selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu di di Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang menurut pihak pendakwa bercanggah dengan kenyataan saksinya.

Laporan polis itu dibuat oleh pegawai penyiasat kes pembunuhan Altantuya terhadap Rohaniza atas dakwaan memberi keterangan palsu.

Sebelum itu, pihak pendakwa membuat permohonan di mahkamah untuk mencabar keterangan Rohaniza.

Apabila mahkamah meneruskan sidangnya selepas rihat tengahari tadi, Timbalan Pendakwaraya, Noorin Badaruddin berkata, Rohaniza, saksi utama pendakwa, telah mengubah keterangannya di beberapa tempat.

Noorin berkata, pasukan pendakwa menemui sekurang-kurangnya empat percanggahan berlaku dalam keterangan saksi tersebut selepas mereka menyemak semula sembilan daripada 16 muka surat kenyataan Rohaniza sebagai saksi.

Timbalan Pendakwaraya itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau masih perlu menyemak tujuh muka surat lagi untuk mengesan sama ada ada lagi bercanggahan dalam keterangan Rohaniza di mahkamah dengan kenyataan saksinya.

Berikutan itu, Noorin memohon mahkamah memberi masa untuk pihak pendakwa menyediakan permohonan mencabar keterangan Rohaniza.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan pihak pendakwa itu dan menangguh perbicaraan kes tersebut.

Keputusan dijangka esok

Esok, pihak pendakwa akan mengemukakan apa juga bukti yang mereka ada untuk mencabar keterangan Rohaniza di mana mahkamah akan diberitahu secara khusus percanggahan yang berlaku.

Hakim Datuk Mohd Zaki kemudian dijangka membuat keputusan mengenai permohonan tersebut.

Jika permohonan mencabar keterangan saksi itu dibenarkan, Rohaniza boleh didakwa memberi keterangan palsu yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa juga boleh meminta kenyataannya yang bercanggah itu dikeluarkan daripada rekod mahkamah. Kewibawaannya sebagai saksi juga akan terjejas.