Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Op cari mangsa terjun jambatan di Pasir Mas ditamatkan
Diterbitkan:  Jan 23, 2024 6:05 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan sepenuhnya operasi mencari mangsa hilang selepas dilaporkan terjun ke dalam sungai Kelantan dari atas Jambatan Tendong, Pasir Mas, di Kota Bharu pada 15 Jan lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata operasi mencari mangsa hilang tersebut ditamatkan sepenuhnya pada 3.30 petang semalam.

"Operasi penuh seperti pencarian di permukaan sungai, penggunaan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Pengesan (K9) telah ditamatkan.

"Bagaimanapun, pemantauan tetap dijalankan seperti biasa dan sekiranya ada petunjuk baharu atau telah dijumpai oleh penduduk kampung berdekatan pihak bomba akan hadir untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya operasi mencari mangsa di permukaan sungai dijalankan sejauh 20 kilometer hingga ke muara di Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan, di Kota Bharu.

Mohd Wildan berkata pihaknya juga turut menjalankan operasi secara selaman oleh PPDA dalam radius 200 meter di kawasan mangsa kali terakhir dilihat terjatuh dari jambatan berkenaan dalam kejadian pada 7.48 malam, 15 Jan lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS