Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip bahawa Palestin berhak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, menerusi catatannya di Facebook hari ini, Anwar berkata, hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta gesaan gencatan senjata telah disampaikan Menteri Luar Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, semalam.

“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak. 

“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan. 

“Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya.

Justeru, perdana menteri berkata, gesaan Malaysia itu telah disampaikan oleh Mohamad seiring dengan kenyataan Antonio di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.

“Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip yakni Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota,” kata Anwar lagi.

Bernama pula memetik Mohamad dalam ucapannya di Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin, pada Selasa (Rabu waktu Malaysia) berkata, Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel terhadap undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza.

Mohamad berkata ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.