Saksi utama pendakwa, Lans Kpl Rohaniza Roslan hari ini membuat kejutan apabila mendakwa seorang lelaki misteri mengancam untuk membunuhnya sekiranya dia memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Rohaniza, 29, memberitahu mahkamah pagi ini bahawa dia menerima ancaman itu melalui satu panggilan telefon pada 11 Jun.

Katanya, pemanggil tersebut, yang menurutnya seorang lelaki Melayu, memberitahunya bahawa dia akan ditembak mati sekiranya menjadi saksi dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

Rohaniza berkata, dia terus membuat laporan pada hari yang sama di balai polis Pantai.

Tambahnya, dia tidak mengenali nombor telefon pemanggil tersebut kerana ia disenaraikan 'private number'.

Semalam, pihak pendakwa mengejutkan hadiran apabila memohon untuk mencabar keterangan Rohaniza yang didakwa bercanggah dengan kenyataan asalnya kepada pihak polis.

Timbalan Pendakwaraya, Noorin Badaruddin kemudiannya menyebut sekurang-kurangnya empat percanggahan dalam keterangan Rohaniza di mahkamah selepas menyemak kenyataan saksinya sebelum ini

Tekanan polis

Pagi ini apabila mahkamah meneruskan perbicaraan, Noorin menggariskan percanggahan-percanggahan keterangan Rohaniza, kepada Haki Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Ini termasuk percanggahan kenyataan Rohaniza mengenai jumlah orang yang menaiki kereta Suzuki Vitara berwarna hijau, dan soalannya kepada teman lelakinya, Cif Insp Azilah Hadri, tentang apa yang sebenarnya berlaku kepada Altantuya.

Rohaniza tetap dengan keterangannya di mahkamah dan menegaskan dia terpaksa memberi versi yang berbeza dalam kenyataannya kepada polis kerana tekanan anggota penyiasat.

Rohaniza ditahan reman selama 14 hari tahun lalu untuk membantu siasatan polis terhadap kes pembunuhan Altantuya dan kemudiannya dilepaskan tanpa didakwa.

Pada kira-kira jam 11.45 pagi, selepas mahkamah berihat seketika, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin meminta Noorin mengemukakan permohonan mencabar keterangan Rohaniza selepas pihak pendakwa selesai menyoal semua saksinya.

Mahkamah meneruskan perbicaraan dengan pihak pendakwa menyoal Rohaniza mengenai ancaman bunuh yang diterimanya dan tekanan dari pihak polis.

Azilah, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh Altantuya manakala penganalisa politik Abdul Razak Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka. Berita asal