PAS berharap sambutan Thaipusam bagi masyarakat beragama Hindu berjalan dengan lancar dan selamat.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana sambutan tahun ini dijangka menarik kehadiran peserta yang lebih besar daripada biasa khasnya di Pulau Pinang.

“Menurut Lembaga Endowmen Hindu Pulau Pinang, sambutan Thaipusam kali ini yang dinamakan ’Thaipusam Perpaduan’ bakal menyaksikan perarakan kedua-dua pedati emas dan perak masing-masing dari kuil di Lebuh Queen dan Lebuh Penang secara hampir serentak dan dijangka menarik lebih satu juta orang, termasuk pelancong asing.
“Dengan jangkaan kehadiran orang ramai yang begitu besar, PAS percaya isu kawalan, koordinasi dan keselamatan bakal menjadi cabaran besar kepada bukan sahaja pihak penganjur, tetapi juga pihak berkuasa dan peserta bagi memastikan ia berjalan lancar serta terurus dan tidak menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas atau halangan jalan raya, kebersihan dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, sama seperti perayaan keagamaan atau kebudayaan lain, Thaipusam satu lagi manifestasi kepelbagaian mewarnai landskap kehidupan di negara ini.

Tanpa prasangka atau kecenderungan untuk menghakimi jelasnya, pengalaman sedemikian merupakan aset dan kelebihan berguna kepada rakyat Malaysia, terutamanya untuk berdepan dengan realiti kepelbagaian dunia dan manusia yang lebih rencam di luar perbatasan kita berbanding negara-negara yang lebih "monoculture" sifatnya.
“Namun tidak dinafikan bahawa di sana-sini akan terus kedengaran sudut pandangan yang parokial serta negatif dalam kalangan individu atau kumpulan masyarakat mengenai kelompok-kelompok tertentu, sama ada berkait kepercayaan, budaya, kecenderungan politik ataupun isu-isu kenegaraan seperti kesetiaan dan sebagainya.

“PAS percaya, pandangan sedemikian akan kekal sebagai pandangan pinggiran yang berjangka hayat sementara sekiranya semua pihak terus bersikap sederhana dan tidak membesar-besarkannya atau terheret ke dalam perang emosi serta polemik yang tidak berfaedah,” katanya yang turut mengucapkan selamat hari Thaipusam.
Tambah Takiyuddin perlu juga diinsafi hakikat bahawa keterbukaan, kesederhanaan dan sikap bertolak ansur terhadap kepelbagaian bukanlah lesen untuk mana-mana pihak mengabaikan, meremehkan apatah lagi mencabar teras-teras negara.

Tegasnya, PAS yakin dengan kesedaran holistik, jujur dan membumi sedemikian banyak konflik dan ketegangan yang berlaku boleh dielakkan, sekali gus membolehkan semua pihak mendapat peluang serta manfaat maksimum daripada keberadaan mereka di tanah air bertuah ini.
“Parokialisme, ekstremisme atau pendekatan berlebih-lebihan adalah kecacatan dan perlu dilunakkan dengan kesederhanaan, akal waras serta sikap budiman, bukannya dengan suara yang lebih kuat atau postur yang lebih mengancam,” katanya lagi.
