Masalah jerebu mengakibatkan jarak penglihatan di tiga kawasan di Pulau Pinang merosot antara tiga kilometer. Jerebu kembali melanda negara ini sejak Sabtu lalu.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Pulau Pinang berkata, jarak penglihatan yang dicatatkan di Butterworth pada jam 11 pagi tadi adalah 3km berbanding 4km petang semalam manakala di Bayan Lepas pula jarak penglihatan sejauh 4km berbanding 4.5km.

"Jarak penglihatan di Jambatan Pulau Pinang pula adalah sejauh 4 km berbanding 5km," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, jarak penglihatan di Prai adalah sejauh 3km berbanding 6.5 km petang semalam.

Katanya, jarak penglihatan pada waktu pagi lebih terhad disebabkan kabus dan mungkin pulih pada tengah hari ini berikutan keadaan cuaca baik dan berangin.

Sementara itu, Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) LTABL Abdul Wahab Abdullah berkata keadaan jerebu itu dengan jarak penglihatan yang semakin merosot itu masih tidak menjejaskan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL).

"Keadaan jerebu di lapangan terbang itu masih terkawal dengan jarak penglibatan pagi ini 5km dan jadual penerbangan ke semua destinasi berjalan lancar," katanya.