Rohaniza: Pegawai polis tawar perjanjian lepaskan saya dan Azilah
Lans Koperal Rohaniza Roslan, teman wanita Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa seorang pegawai polis telah menawarkan satu perjanjian untuk melepaskan mereka berdua daripada tuduhan berkenaan.
Lans Koperal Rohaniza Roslan, teman wanita Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa seorang pegawai polis telah menawarkan satu perjanjian untuk melepaskan mereka berdua daripada tuduhan berkenaan.
Katanya, pegawai polis daripada Unit Jenayah Berat (D9) yang bertanggungjawab merakam percakapannya juga berjanji akan memendekkan tempoh tahanan remannya.
Rohaniza, 29, berkata ekoran daripada perjanjian itu, beliau bersetuju dengan apa saja yang tercatat dalam kenyataan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang dibuat pada 16 November tahun lalu, demikian menurut laporan Bernama.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak ingat nama pegawai polis terbabit tetapi menurut beliau, perjanjian sedemikian juga ditawarkan oleh beberapa pegawai polis Unit Bantuan Teknik (D6) sepanjang beliau direman selama 14 hari.
Rohaniza, saksi ketujuh pendakwaaan perbicaraan kes itu yang masuk hari ke-12 hari ini, berkata demikian ketika ditanya dalam pemeriksaan balas oleh Hazman Ahmad, peguam yang mewakili Azilah.
Pemeriksaan balas itu dibuat selepas Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin membenarkan kesemua pihak menyoal Rohaniza berhubung penjelasan saksi itu
mengenai lima percanggahan beliau dalam keterangan semalam berbanding dengan percakapan beramaran.
Hazman: Ada kamu dijanji dengan apa-apa sekiranya memberi keterangan?
Rohaniza: Dia cakap bukan hanya untuk lepaskan saya, tapi untuk lepaskan Azilah sekali.
Hazman: Siapa dia?
Rohaniza: Salah seorang pegawai perakam. Pegawai D6, D9...nama tak ingat.
Hazman: Setuju bahawa kerana terlampau banyak rakaman, kamu keliru?
Rohaniza: Setuju.
Saksi dakwa dimaki
Beliau juga mendakwa telah diugut, dimaki dan diberi tekanan oleh ramai anggota polis sejak direman dari 1 hingga 14 Nov 2006, dan itu membuatkan beliau keliru dalam beberapa perkara membabitkan penglibatannya dalam kes berkenaan.
Rohaniza berkata bahawa sepanjang direman, lebih daripada 10 percakapan beramarannya telah diambil, dan apa yang ditunjukkan kepada mahkamah hari ini adalah kenyataan beramaran yang dibuat selepas tempoh tahanan remannya tamat.
Katanya sepanjang tahanan reman di Balai Polis Jalan Travers itu, dia disoal kira-kira 12 jam setiap hari dan ada antara pegawai perakam yang memaksanya supaya bersetuju sahaja dengan sesuatu fakta.
Saksi itu berkata bahawa ketika memberi percakapan beramaran itu juga ada
pegawai perakam yang mengugut dan paksanya bersetuju dengan sesuatu fakta.
"Ada juga yang mengugut untuk mengambil tindakan tatatertib atau membuang saya dari anggota polis sekiranya enggan memberi kerjasama," katanya yang kerap mengesatair mata.
Percakapan beramaran
Rohaniza turut mengakui bahawa akibat terlalu tertekan dan marah dengan apa yang berlaku semasa direman, beliau bersetuju sahaja dengan kebanyakan fakta yang terkandung dalam percakapan beramaran itu.
Hazman: Adakah percakapan beramaran itu diambil oleh satu pegawai perakam atau berbeza-beza?
Rohaniza: Berbeza.
Hazman: Setuju apabila pegawai perakam yang berbeza, soalan dan fakta yang dikemukakan juga berbeza?
Rohaniza: Setuju.
Hazman: Adakah pegawai perakam tulis lain untuk satu rakaman sahaja atau semua?
Rohaniza: Semua.
Rohaniza juga memberitahu mahkamah bahawa percanggahan antara dua kenyataan itu juga berpunca daripada timbul perasaan putus asa dan tekanan
akibat didera.
Ditanya apakah perasaan beliau sebagai seorang polis, beliau diletakkan dengan tahanan lain ketika direman, Rohaniza berkata: "Saya malu dan tertekan. Sebelum ni saya yang jaga mereka. Tiba-tiba saya pula yang masuk lokap."
Katanya anggota polis yang bertanggungjawab merakam tidak mencatat apa yang dikatakannya sebaliknya mencatat apa yang tidak dikatakan (mengenai kes itu) pada kesemua percakapan beramaran yang dibuat olehnya.
'Dikurung'
Rohaniza berkata, dua hari sebelum percakapan diambil oleh Cif Inspektor Saheela Abu Bakar di Bukit Aman, dia telah ditempatkan di sebuah hotel dan diawasi supaya tidak keluar dari situ.
Rohaniza berkata ketika ditempatkan di situ, dia tidak dibenarkan menghubungi sesiapa selain rakan serumahnya dan dia tidak dimaklumkan kenapa dia perlu dibawa ke situ.
"Pada ketika itu saya tertekan. Rasa tidak bebas padahal tempoh reman saya telah tamat selama 14 hari. Saya sangat keliru sama ada nak kena tuduh atau macam mana," katanya.
Rohaniza, yang telah berkhidmat selama sembilan tahun sebagai anggota polis, berkata beliau tidak pasti siapakah yang memberi arahan supaya dia "dikurung" tetapi dia telah dibawa oleh tiga anggota polis iaitu DSP Gan Tack Guan, ASP Tonny Lunggan dan seorang yang hanya dikenali sebagai Konstabel Maz.
Ketika disoal Kamarul Hisham Kamaruddin, peguam yang mewakili tertuduh kedua, Kpl Sirul Azhar Umar, sama ada dia mampu memberi perhatian dengan jelas dan tepat ketika percakapan saksi diambil, Rohaniza berkata: "Tidak."
Saksi itu turut bersetuju bahawa ketika percakapan itu dibuat beliau belum berpeluang untuk menenangkan dirinya daripada apa yang berlaku.
Sepanjang prosiding yang bermula jam 9.25 pagi tadi, Rohaniza kelihatan tenang sahaja tetapi sering mengesat air mata dengan tisu. Wajahnya sesekali berkerut apabila mendengar soalan pihak pendakwaan dan pembelaan tetapi beliau masih sempat sesekali menjeling ke arah Azilah.
Bagaimanapun Azilah lebih banyak memandang ke arah bawah dan ke kerusi berbanding merenung wajah teman wanitanya itu.
Rohaniza memberi keterangan itu dalam perbicaraan terhadap Azilah, 30, dan Sirul Azhar, 35, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman yang didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam melakukan pembunuhan itu. Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dihukum mati.
.

