SAR mangsa tanah runtuh Cameron Highlands guna cara manual
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley di Cameron Highlands hanya boleh dilakukan secara manual susulan jentera berat masih tidak boleh memasuki kawasan bencana.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Azri Ramli berkata pasukan SAR melakukan pencarian dengan peralatan termasuk cangkul dan penyodok sementara jalan alternatif untuk dilalui jentera berat dapat diusahakan.
"Pencarian akan dilakukan secara manual menggunakan cangkul dan penyodok kerana jentera berat didapati masih tidak boleh memasuki kawasan itu kerana keadaan tanah yang lembik," katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Bomba bencana itu di Cameron Highlands.
Turut hadir Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani.

Sementara itu, beliau berkata SAR akan diteruskan sehingga 10 malam ini bergantung keadaan cuaca.
Azri berkata pasukan SAR termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah tiba di tempat kejadian mempunyai peralatan lengkap untuk meneruskan pencarian termasuk pencahayaan.
Terdahulu dua mayat daripada lima mangsa berjaya ditemukan dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan.
Azri turut mengesahkan tiga daripada mangsa terlibat mempunyai pertalian keluarga iaitu sepasang suami isteri dan bapa kepada suami.
Beliau turut berkata sebahagian daripada mangsa merupakan pemegang kad UNHCR dan kesemua mangsa warganegara Myanmar itu merupakan pekerja di ladang sayur di situ.
Sementara itu, Ismail berkata 84 anggota SAR berada di kawasan kejadian bagi meneruskan operasi dengan kekuatan 217 secara keseluruhan.
"Kami juga dibantu oleh 30 pekerja kebun sayur di sini bagi operasi kami selain unit SMART dan dua ekor K9 (anjing pengesan)," katanya.
Beliau berkata unit K9 turut menemukan petunjuk di sektor C yang menjadi panduan pasukan untuk terus mengesan baki mangsa.
Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi tadi, lima warganegara Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah dihuni mangsa ditimbus dalam kejadian tanah runtuh.
Lima mangsa terlibat dikenali sebagai Shing Lan Har, 56, Shing Aung, 39, Om Myue, 38, Haphey, 36, dan Thang Moung, 25.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/01/4f133d8586f6d9477767c9c2b1edb960.jpg)
