Saksi perbicaraan kes bunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu, Lans Kpl Rohaniza Roslan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa beliau telah dikurung, diugut dan diseksa oleh polis sebelum membuat rakaman percakapan beramaran di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semasa siasatan kes berlangsung.

Rohaniza, teman wanita Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh itu, memberitahu perkara itu ketika diminta oleh mahkamah untuk menjelaskan mengenai lima perbezaan dalam keterangan yang diberikannya dalam sesi pemeriksaan utama di mahkamah semalam, yang bercanggah daripada rakaman percakapannya dengan polis yang dibuat pada 16 November lalu.

Rohaniza, 29, juga memberitahu, kenyataan yang diberikan kepada pihak polis itu adalah tidak benar kerana dibuat dalam keadaan tertekan, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau juga mendakwa pihak polis telah membuat rakaman kenyataan terhadap perkara yang tidak disebut olehnya.

Rohaniza memberi keterangan sebagai saksi ketujuh pendakwaan dalam perbicaraan hari ke-12 kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Terdahulu, saksi itu turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa seminggu sebelum perbicaraan kes Altantuya itu bermula, beliau (Rohaniza) menerima ugutan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali yang mengugut bahawa beliau akan ditembak jika menjadi saksi kes pembunuhan itu.

Rohaniza berkata ugutan itu diterima melalui panggilan telefon daripada seorang lelaki Melayu pada 11 Jun 2007.

Katanya beliau tidak mengenali suara lelaki itu dan tidak mengecam nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu.

Beliau berkata ugutan itu berbunyi "Jangan jadi saksi nanti kena tembak".

Buat laporan polis

Rohaniza berkata berikutan ugutan itu serta bimbang dengan keselamatan dirinya, beliau beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu

pada hari yang sama.

Di kandang tertuduh ialah Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman yang didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam melakukan pembunuhan itu. Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dihukum mati.

Semalam, berlaku kejutan pada perbicaraan kes bunuh itu apabila ia terpaksa ditangguhkan ke hari ini, ekoran permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar keterangan Rohaniza, yang juga adalah saksi pendakwa sendiri.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan prosiding berkenaan setelah Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah memaklumkan bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan Rohaniza dengan kenyataan beramarannya itu, sebaik sahaja perbicaraan sebelah petang bermula.

Tun Abdul Majid berkata pada mulanya pihak pendakwaan mengesan terdapat empat percanggahan dalam keterangan saksi itu, tetapi kemudian mendapati ia lebih daripada itu dan memohon diberi lebih masa untuk menelitinya.

Pada prosiding sebelah pagi semalam, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin ketika membuat pemeriksaan utama terhadap Rohaniza, memohon mahkamah memberhentikan prosiding kerana pihaknya mendapati terdapat percanggahan dan pihaknya mahu mencabar keterangan Rohaniza.

Berikutan itu, pegawai penyiasat kes pembunuhan itu, ASP Tonny Lunggan membuat laporan polis mengenai percanggahan keterangan Rohaniza di mahkamah, di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, sejurus selepas perbicaraan kes itu ditangguhkan semalam.