SKMM diarah tarik balik larangan TV swasta siarkan ucapan pembangkang
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan supaya menarik balik arahannya kepada stesen televisyen swasta supaya jangan menyiarkan ucapan pemimpin pembangkang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan supaya menarik balik arahannya kepada stesen televisyen swasta supaya jangan menyiarkan ucapan pemimpin pembangkang.
"Saya telah menulis kepada SKMM hari ini mengarahkan suruhanjaya itu menarik balik serta merta arahan tersebut," kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Lim berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai arahan tersebut kerana berada di luar negara dan mengetahui mengenainya selepas membacanya dalam akhbar.
"Saya telah menyiasat perkara itu sebaik sahaja saya dapat tahu mengenainya," tambahnya, sambil menambah SKMM tidak sepatutnya mengeluarkan arahan seumpama itu.
Beliau juga berkata, SKMM mungkin mengeluarkan arahan tersebut kerana menganggap penyiaran rakaman ucapan ahli Parlimen pembangkang adalah dilarang kerana persidangan Parlimen bukan siaran langsung.
Pada 29 Jun lalu, malaysiakini menyiarkan surat SKMM itu yang mengarahkan pemilik stesen TV swasta supaya berhenti serta merta menyiarkan ucapan pemimpin pembangkang.
Usul ditolak
Sementara itu, satu usul tergempar untuk membincangkan arahan tersebut ditolak oleh DewanRakyat hari ini.
Usul tersebut yang dikemukakan oleh Tan Kok Wai (DAP-Cheras) menyebut bahawa arahan SKMM itu menyekat kebebasan maklumat.
Menurutnya, arahan tersebut telah menafikan hak rakyat mendapatkan saluran maklumat dan perlu diberi perhatian segera.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib menolak usul tersebut atas alasan ia bukan memerlukan tindakan segera di bawah Peraturan Tetapi 18(2).
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa kementerian berkenaan telah mengeluarkan arahan untuk membatalkannya. Berita asal

