Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'wak akan muktamad rundingan LTAT isu pegangan saham Affin Bank
Diterbitkan:  Jan 30, 2024 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Usaha kerajaan Sarawak dalam melakukan transaksi tambahan bagi meningkatkan pegangan dalam Affin Bank Bhd akan dimuktamadkan tidak lama lagi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri masih berunding dengan Affin Bank dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk menentukan jumlah pegangan saham yang boleh ditingkatkan.

“Affin Bank merupakan syarikat tersenarai dan kami tidak boleh mendedahkan jumlah sahamnya dan saya perlu mematuhi peraturan Bursa Malaysia dan kami sedang memuktamadkannya melalui perbincangan dengan LTAT,” katanya pada sidang akhbar sempena persidangan "Affin Malaysia Market Outlook 2024: Propelling Malaysia Forward" di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Affin Bank berkata pemegang saham utamanya LTAT telah mengesahkan laporan berita bahawa dana angkatan tentera itu sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk "kemungkinan transaksi saham tambahan" dalam bank itu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kerajaan negeri berminat untuk meningkatkan pegangan sahamnya dalam bank bagi memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, selain daripada tujuan pelaburan dan simpanan negeri.

“Pendapatan diuruskan oleh tiga faktor iaitu perbelanjaan, pelaburan dan simpanan. Tiga faktor ini penting bukan sahaja untuk mengurus pendapatan tetapi juga untuk melindungi masa depan rakyat dan anak-anak kita. Oleh itu, inilah sebabnya kami inginkan bank kerana ia adalah sebahagian daripada pelaburan kami,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata Sarawak dan Affin Bank mempunyai banyak persamaan, terutamanya dalam misi mereka untuk memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Sarawak mahukan progresif, Affin pun mahukan progresif. Sarawak mempunyai tiga tonggak wawasan untuk ke hadapan, iaitu pertumbuhan ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar,” katanya.

Selaras dengan wawasan itu, beliau berkata bank juga mempunyai tiga tonggak iaitu untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, kepimpinan dan impak perbankan yang bertanggungjawab, yang mempunyai persamaan untuk berkembang dan menjalankan perniagaan secara bersama-sama.

Setakat 29 Dis, 2023, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796 peratus kepentingan ekuiti dalam Affin Bank.

Pada persidangan itu, Abang Johari berkata Sarawak akan menumpukan pada pengeluaran tenaga hijau khususnya dalam bidang biojisim, haba solar dan kuasa hidro, sambil berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam industri hijau dan membekalkan tenaga hijau kepada Singapura.

Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS